Malaysia hormat keputusan ICJ berkait genosid Rohingya di Myanmar

Malaysia menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Myanmar telah melakukan genosid terhadap etnik minoriti Rohingya – julung kali mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memutuskan sesebuah negara melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Kementerian Luar Negeri berkata, hasil dapatan ICJ itu selaras selari pendirian Malaysia dalam melindungi golongan rentan.
“Malaysia akan terus memperjuangkan penyelesaian yang komprehensif dan berkekalan bagi krisis berlarutan ini, termasuk melibatkan semua pihak berkaitan secara aktif untuk melaksanakan langkah konkrit bagi meringankan penderitaan komuniti Rohingya yang berlindung di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Setakat 30 Sept lalu, seramai 133,400 pelarian dan pencari suaka Rohingya berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia, manakala 6,294 etnik Rohingya ditempatkan di depot tahanan imigresen setakat 31 Okt lalu.
Minggu ini, UNHCR menghentikan aktiviti pendaftaran dan dokumentasinya susulan keputusan Putrajaya untuk membangunkan sistem sendiri bagi menguruskan pencari suaka.
Dalam keputusan bersejarah Khamis lalu, ICJ memutuskan Myanmar telah melakukan genosid terhadap etnik minoriti Rohingya serta mengarahkan pelarian diberikan laluan selamat untuk pulang ke tanah air mereka dan diberikan pampasan.
ICJ mendapati tentera Myanmar telah membunuh beribu-ribu orang awam Rohingya, melakukan keganasan seksual secara meluas dan keganasan ekstrem terhadap kanak-kanak, menyerang penduduk melarikan diri dari kediaman mereka serta memusnahkan kampung.
Mahkamah itu juga mendapati tindakan berkenaan dilakukan dengan niat khusus untuk menghapuskan sebahagian besar populasi etnik Rohingya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.