ESPN DeportesChivas se acerca al gol, ante un América nerviosoPunchAkpabio, Natasha silent over activist’s fresh allegationESPNDeBoer wants Bama to 'start faster' after latest rally vs. FSUוואלהאד שירן על ישראל ועזה: "מה שקרה ב-7 באוקטובר היה מחריד; המתרחש בעזה קטסטרופלי"النهارترامب يفك الترابط بين حربي أوكرانيا وإيرانThe Jerusalem PostPutin prepares to escalate Ukraine war with draft surge, attacks targeting NATO - reportDaily MailHarry Styles and fiancée Zoe Kravitz passionately kiss and hold hands in NYC as wedding plans are revealedEl Comercio¡Pura alegría! Así festejó Perú su clasificación a los Qualifiers de la Copa Davis | FOTOSOnetPilny powrót Trumpa. Bombowiec B-1B Lancer opuścił bazę. Podsumowanie nocyNew Straits TimesNajib's RM50mil house arrest condition partly beyond his control, say lawyersSportstarShooting LIVE updates from Asian Games 2026: India set to win team medal in 10m air rifle; Sonam Maskar, Elavenil Valarivan enter finalThe Sydney Morning HeraldAlbo wanders into Tim Apple’s place to fix the internet
The Daily Newsstand · Free, Always
Sunday, September 20, 2026

Dalil lama untuk halang pemansuhan Auku

Translate

Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) diluluskan pada 1971 ketika landskap pendidikan tinggi negara jauh berbeza daripada hari ini.

Lebih lima dekad kemudian, perbahasan mengenainya masih berkisar pada persoalan yang sama: mengapa perlu dimansuhkan jika bahagian yang dianggap bermasalah masih boleh dipinda?

Hujah itu bukan baharu. AUKU sudah berkali-kali dipinda sejak diperkenalkan, termasuk pindaan terbaharu yang berkuat kuasa pada 2024. Namun, persoalan mengenai autonomi universiti, kebebasan akademik dan hak mahasiswa terus dibangkitkan.

Persoalannya, berapa kali lagi AUKU perlu dipinda sebelum kita mengakui bahawa masalahnya mungkin bukan sekadar beberapa peruntukan tertentu, tetapi kerangka yang mendasarinya?

Falsafah Pendidikan Kebangsaan menetapkan bahawa pendidikan harus melahirkan insan berilmu, berketerampilan dan bertanggungjawab, serta mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Universiti sepatutnya menjadi antara tempat paling penting untuk matlamat itu diterjemahkan – melalui pemikiran kritikal, kebebasan akademik, kebebasan bersuara, penyertaan mahasiswa dan autonomi institusi.

Di sinilah letaknya persoalan besar terhadap Auku.

Pada pandangan saya, akta itu dibentuk berasaskan kerangka kawalan. Walaupun pelbagai pindaan kemudian membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa, struktur kuasa yang diwujudkannya masih perlu dinilai secara menyeluruh.

Bukan sekadar ‘tujuh seksyen’

Kebelakangan ini muncul semula hujah bahawa tidak ada keperluan memansuhkan keseluruhan AUKU jika hanya beberapa seksyen dianggap bermasalah.

“Kalau ada tujuh yang perlu diubah, kenapa kita nak gantikan semua?”

Sekali dengar, hujah itu kelihatan munasabah. Jika kerosakan hanya pada beberapa bahagian, baiki sahaja bahagian berkenaan.

Namun, undang-undang tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah seksyen semata-mata. Yang lebih penting ialah kuasa yang diberikan oleh sesuatu peruntukan dan kesannya terhadap keseluruhan sistem.

Ambil Seksyen 8 Auku.

Seksyen 8(1) menetapkan bahawa perlembagaan sesebuah universiti hendaklah mengandungi peruntukan mengenai perkara yang dinyatakan dalam Jadual Pertama AUKU.

Seksyen 8(2) pula menghendaki langkah diambil jika perlembagaan universiti tidak mengandungi peruntukan berkenaan atau mempunyai peruntukan yang bercanggah dengannya.

Kesannya ialah struktur asas perlembagaan universiti awam yang tertakluk kepada AUKU dibentuk melalui kerangka yang sama.

Jadi, satu seksyen sahaja mempunyai implikasi yang jauh lebih luas daripada angka “satu” yang tertera di atas kertas. Ia menyentuh struktur dan tadbir urus institusi itu sendiri.

Begitu juga Seksyen 16C berkaitan kaedah tatatertib pelajar.

Peruntukan itu memberi kuasa kepada lembaga universiti untuk membuat kaedah tatatertib yang difikirkan perlu atau suai manfaat bagi mengawal tatatertib mahasiswa, termasuk mewujudkan kesalahan dan mengatur proses berkaitan.

Sama ada kuasa itu dilaksanakan secara munasabah atau sebaliknya boleh diperdebatkan. Tetapi pokok persoalannya ialah keluasan struktur kuasa yang diwujudkan oleh AUKU.

Sebab itu perdebatan tentang pemansuhan tidak boleh disempitkan kepada persoalan sama ada “tujuh seksyen” sahaja perlu diubah.

Dua peruntukan yang mempunyai kesan luas sudah cukup untuk menunjukkan mengapa sesuatu undang-undang perlu dibaca secara keseluruhan – dari segi tujuan, struktur kuasa dan kesan pelaksanaannya.

Layan mahasiswa sebagai orang dewasa

Kita juga perlu bertanya apakah jenis mahasiswa yang mahu dilahirkan oleh sistem pendidikan tinggi negara.

Anak muda memasuki universiti sebagai orang dewasa. Mereka boleh mengundi, membuat keputusan sendiri dan memikul tanggungjawab di sisi undang-undang.

Namun, jika persekitaran universiti terlalu bergantung kepada kawalan dari atas, kita akhirnya memperlakukan mereka seperti anak kecil.

Kemudian kita hairan apabila mahasiswa dilihat kurang berani membuat keputusan, kurang kritikal atau terlalu bergantung kepada institusi.

Kematangan tidak lahir melalui kawalan berlebihan. Ia dibentuk melalui ruang untuk membuat keputusan, melakukan kesilapan, bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri dan belajar daripada pengalaman.

Sebab itu pemansuhan AUKU tidak sepatutnya dilihat semata-mata sebagai soal politik mahasiswa. Ia lebih besar daripada itu.

Ia menyentuh persoalan tentang bagaimana universiti ditadbir, siapa mempunyai kuasa membuat keputusan, sejauh mana institusi diberikan autonomi dan apakah hak yang sepatutnya dinikmati warga universiti.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah mengumumkan hasrat kerajaan untuk memansuhkan AUKU. Jemaah Menteri kemudian bersetuju supaya kerangka perundangan baharu dibangunkan melalui pendekatan One Higher Education Act (OHEA). Kementerian Pendidikan Tinggi turut mengumumkan penubuhan jawatankuasa bebas dan proses libat urus dengan pemegang taruh.

Maka perbahasan sekarang seharusnya bergerak lebih jauh daripada persoalan lama sama ada AUKU perlu “dipinda atau dimansuhkan”.

Soalan yang lebih penting ialah apakah prinsip yang akan menjadi asas kepada undang-undang baharu itu.

Adakah OHEA nanti benar-benar memberikan autonomi lebih besar kepada universiti? Adakah kebebasan akademik dan hak mahasiswa akan dijamin dengan lebih jelas? Adakah struktur tadbir urus akan berubah, atau kita sekadar memindahkan kerangka lama ke dalam sebuah akta bernama baharu?

Jika kita benar-benar mahu melakukan reformasi pendidikan tinggi, inilah persoalan yang perlu dijawab.

Selepas lebih lima dekad AUKU dan berkali-kali pindaan, kita tidak seharusnya terus terperangkap dalam dalil lama.

Yang perlu dinilai bukan berapa banyak seksyen mahu dibuang, tetapi jenis universiti yang mahu kita bina selepas Auku.

Daniel Mizan Qayyum ialah bekas aktivis mahasiswa yang kini beramal sebagai peguambela dan peguamcara.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

View the original on Free Malaysia Today

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.