Bekas tentera kalah saman berkait penahanan 364 hari

Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak saman bekas koperal tentera terhadap tentera dan kerajaan berhubung dakwaannya ditahan secara salah selama 364 hari.
Marzuki Mat Jusoh memfailkan saman itu pada 2023 terhadap dua pegawai kanan, angkatan tentera, dan kerajaan.
Dia telah dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tentera pada 2021 selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine membawa hukuman penjara empat bulan serta dibuang kerja daripada perkhidmatan.
Marzuki mendakwa dia ditahan secara salah di bawah tahanan tertutup, iaitu bentuk penahanan tentera yang lebih ketat selama 52 hari dari 6 Mei hingga 26 Jun 2020, sebelum ditempatkan di bawah tahanan terbuka, yang memberikan kebebasan bergerak lebih besar tertakluk sekatan tentera selama 278 hari lagi sehingga 31 Mac 2021.
Penahanan itu merangkumi tempoh siasatan terhadap kesalahannya sehingga kepada perbicaraan Mahkamah Tentera.
Pesuruhjaya Kehakiman Shamsul Bahrin Abdul Manaf memutuskan Marzuki gagal membuktikan dakwaannya berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Mahkamah memutuskan kedua tempoh tahanan adalah sah mengiukut Seksyen 96(3) Akta Angkatan Tentera 1972, yang membenarkan seorang anggota dituduh atas sesuatu kesalahan direman, sementara menunggu perbicaraan Mahkamah Tentera.
Shamsul turut menolak permohonan Marzuki mengisytiharkan Seksyen 96(3) tidak menepati Perlembagaan, dengan memutuskan peruntukan berkenaan jelas dan tidak samar.
Mahkamah memerintahkan Marzuki membayar kos RM40,000 kepada pihak kerajaan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.