Tubuh badan khas pantau perbelanjaan kementerian, kata Puad

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi berkata kerajaan perlu menubuhkan badan khas bagi memantau perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan kepada semua kementerian dalam Belanjawan 2027.
Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, badan khas boleh memantau supaya tidak berulang kes kementerian berbelanja lebih dan juga yang kurang berbelanja sehingga ada duit dipulangkan kepada perbendaharaan dihujung tahun.
Beliau memetik pendedahan Perbendaharaan bahawa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berbelanja lebih daripada peruntukan sehingga ramai kontraktor tidak mendapat bayaran walaupun kerja sudah siap.
Puad yang juga timbalan menteri pendidikan dari 2009 hingga 2013 berkata beliau terkejut apabila mendapati Kementerian Pendidikan (KPM) ketika itu pulangkan wang yang tidak dibelanjakan kepada perbendaharaan dengan jumlah yang agak besar.
“Dulu saya sering melawat sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak. Tapi dukacita kerana sering dimaklumkan bajet tidak mencukupi untuk naik taraf sekolah sekolah daif. Tiba tiba ada pula duit dipulangkan kerana tidak dibelanjakan.
“Apa sebenarnya berlaku. Birokrasi? Sistem maklumat tidak tepat? Little Napoleon dalam kementerian? Tidak peka? Malas? Ini antara isu yang perlu ditangani dalam Bajet 2027,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Perbendaharaan sebelum ini mendedahkan bahawa kementerian Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi secara konsisten berbelanja melebihi peruntukan diluluskan bagi projek jalan luar bandar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan RM1.8 bilion dibelanjakan pada 2023 berbanding peruntukan RM1.1 bilion, RM2 bilion pada 2024 berbanding RM1.3 bilion, dan RM2.3 bilion pada 2025 berbanding RM1.6 bilion.
Ini mengakibatkan perbezaan terkumpul sebanyak RM2.1 bilion antara peruntukan tahunan yang diluluskan dengan perbelanjaan sebenar.
Kementerian Kewangan kemudian berkata perkara itu telah ‘diselesaikan’, meskipun seorang Ahli Parlimen DAP membuat laporan bagi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu tersebut.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.