Bekas Ahli Parlimen PJ Chean Chung sertai Bersama

Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menyertai Bersama selepas meninggalkan PKR, berkuat kuasa hari ini.
Beliau mengikut jejak bekas Ahli Parlimen dan pemimpin PKR seperti bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli, bekas naib presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas Ahli Parlimen Subang Wong Chen.
Lee yang juga bekas bendahari agung dan pengarah komunikasi PKR, menyerahkan borang permohonan keahlian Bersama hari ini sebelum diterima masuk ke parti itu.
“Penyertaan Lee memperkuatkan barisan kepimpinan Bersama tatkala parti giat berkembang. Beliau akan memikul tanggungjawab bersama mengemudi kempen PRN Melaka kali ini, dengan tumpuan membina jentera kempen di kawasan majoriti Cina.
“Lee akan menjadi salah seorang daripada pemimpin Bersama parti ini semasa proses interim sebelum pemilihan kepimpinan baru parti yang dijangka diadakan tahun depan,” kata Rafizi, Nik Nazmi dan Syukri Razab dalam kenyataan.
Lee mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya Jumaat lalu dan meninggalkan PKR berkuat kuasa hari ini. Tindakan itu menyusul keputusan PKR menggantung keahliannya selama tiga tahun.
Beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya pada PRU 2022 dan pernah menjadi Adun Semambu di Pahang selama dua penggal.
Hubungan Lee dengan kepimpinan PKR dingin sejak menghadiri majlis pelancaran Bersama Mei lalu dan beliau mempertahankan kehadirannya dalam acara anjuran parti itu atas alasan hanya menyertai aktiviti diadakan di kawasan pilihan rayanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.