Penipuan AI, deepfake tumpuan NEXSEC2026

Penipuan digital kini semakin canggih dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI), teknologi deepfake, dan penyamaran suara, sekali gus mencetuskan persoalan tahap kesiapsiagaan rakyat Malaysia berdepan ancaman siber.
Bagaimana teknologi ini diguna memperdaya mangsa dan apakah yang dapat dilakukan bagi memperkukuh keselamatan digital?
Persoalan itu antara yang bakal dikupas menerusi NEXSEC2026, anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang berlangsung pada 25 dan 26 Nov ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur.
Terbuka kepada orang ramai, acara dua hari itu menghimpunkan wakil kerajaan, pemimpin industri, pakar keselamatan siber serta ahli akademik bagi membincangkan ancaman digital terkini, perkembangan teknologi, dan kesiapsiagaan Malaysia menghadapinya.
Pengunjung berpeluang mengikuti pelbagai pengisian menarik, termasuk perbincangan panel pakar, sesi perkongsian teknologi, pameran, pertandingan keselamatan siber serta program mengetengahkan bakat dalam bidang berkenaan.
AI, penipuan digital, dan keselamatan data
Antara tumpuan utama NEXSEC2026 ialah bagaimana AI mengubah landskap ancaman siber, termasuk penggunaannya dalam penipuan deepfake, penyamaran identiti, dan suara serta jenayah digital yang semakin rumit.
Perbincangan turut meneroka bagaimana teknologi sama boleh dimanfaat untuk memperkukuh pertahanan siber, selain kepentingan kerjasama industri dalam membendung ancaman penipuan.
Tidak ketinggalan, perkembangan teknologi kuantum yang dijangka membawa cabaran baharu terhadap perlindungan data dan keselamatan komunikasi digital pada masa depan.
Topik berkenaan selari penekanan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Mobile World Congress (MWC) Doha 2026 dan International Telecommunication Union Plenipotentiary Conference 2026 (ITU PP-26), khususnya mengenai persediaan Malaysia menghadapi ancaman teknologi kuantum dan usaha meningkatkan kepercayaan terhadap teknologi baharu.
Kupas trend penipuan terkini
Bagi mereka yang ingin memahami taktik penipuan digital yang terus berkembang, antara sesi utama yang wajar diberi perhatian ialah ‘The State of Scams 2026: Trends, Impact and Lessons for Malaysia’.
Sesi dijadualkan pada 26 Nov itu akan menampilkan penasihat Asia Tenggara Global Anti-Scam Alliance (GASA), Rajeshpal Singh Sandhu.
Beliau akan mengupas trend penipuan digital terkini, kesannya kepada masyarakat serta pengajaran yang boleh dimanfaatkan Malaysia berdasarkan pengalaman antarabangsa dalam menangani ancaman berkenaan.
Perbincangan itu relevan memandangkan penipuan digital bukan hanya menyasarkan golongan tertentu, malah boleh menjejaskan pelajar, golongan bekerja, ibu bapa, dan pemilik perniagaan.
Selain isu penipuan, NEXSEC2026 turut memberi perhatian kepada pembangunan generasi baharu pakar keselamatan siber menerusi kerjasama industri, penguasaan kemahiran praktikal dan pertandingan membabitkan pelajar universiti.
Dengan ancaman siber yang terus berubah seiring kemajuan teknologi, penganjuran NEXSEC2026 diharap dapat menjadi platform untuk orang ramai memahami risiko digital, meningkatkan kesedaran keselamatan siber dan kepentingan melindungi data peribadi.
Orang ramai berminat menghadiri NEXSEC2026 boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program berkenaan menerusi laman sesawang rasmi https://mcmc.gov.my/nexsec2026.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.