Umno berdepan tekanan elak kemelut Ismail bawa DUN bubar

Umno berdepan tekanan mencari jalan keluar daripada kemelut kepimpinan Negeri Sembilan bagi mengelakkan risiko DUN dibubarkan sekiranya parti itu enggan menyokong Menteri Besar Ismail Lasim, kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata walaupun Ismail masih menteri besar yang sah di sisi perlembagaan, kedudukannya kini semakin sukar selepas pendiriannya bercanggah dengan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN).
BN mempunyai 18 Adun iaitu 16 daripada Umno manakala dua dari MCA. Parti itu membentuk kerajaan Negeri Sembilan dengan Perikata Nasional (PN) yang diwakili tujuh Adun.
Mazlan berkata Ismail perlu membuktikan sokongan sekurang-kurangnya 19 Adun untuk terus menerajui kerajaan negeri, namun angka itu sukar dicapai tanpa sokongan sebahagian wakil rakyat Umno atau PN.
“Apabila keterangannya bercanggah dengan (pengumuman) Umno dan Setiausaha Agung BN (Zambry Abdul Kadir), ertinya Ismail sudah berbeza (haluan) dengan parti.
“Jika beliau mendapat sokongan Pakatan Harapan (PH) (ada 11 kerusi) sekalipun masih tidak mencukupi, kecuali ada beberapa Adun daripada Umno atau PN menyokongnya,” katanya kepada FMT.
Semalam, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Azizi Mohamad Ali berkata Ismail yang juga Adun Juasseh perlu menunjukkan masih mendapat sokongan majoriti Adun untuk terus memegang jawatan menteri besar.
Beliau juga hendaklah mengemukakan senarai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) untuk pertimbangan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Hanya selepas itu sempurna, tarikh persidangan DUN dan pembentangan belanjawan negeri akan ditetapkan mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Kemelut itu tercetus selepas Zambry pada 16 Nov mengumumkan Ismail meletakkan jawatan sebagai menteri besar susulan penerimaan salinan surat peletakan jawatan bertarikh sama yang dialamatkan kepada Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan memaklumkan ketulenannya masih belum disahkan manakala Ismail menafikan beliau menghantar surat peletakan jawatan, sekali gus bercanggah dengan pengumuman kepimpinan BN.
Yang Dipertuan Besar menitahkan Ismail meneruskan tugas dan tanggungjawab mentadbir negeri seperti biasa dalam sesi menghadap semalam.

Pakar perlembagaan Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata selaras dengan perlembagaan negeri, mana-mana menteri besar yang kehilangan sokongan majoriti wajib meletakkan jawatan sekiranya tidak memohon pembubaran DUN.
“Jika Yang DiPertuan Besar enggan membubarkan DUN, menteri besar kena meletakkan jawatan bersama barisan exco beliau,” menurut ketua kluster tadbir urus dan undang-undang Majlis Profesor Negara itu.
Beliau menambah, kegagalan menteri besar memperoleh sokongan dewan ketika membentangkan belanjawan negeri juga menjadi petunjuk jelas bahawa beliau sudah hilang sokongan majoriti.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.