Pemergian Hasmah dihujani penghormatan, ucapan takziah

Pemergian Dr Hasmah Ali di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi dihujani dengan penghormatan dan ucapan takziah daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin, sambil mengenang sifat penyayang, lemah lembut serta sumbangan besar beliau kepada negara.
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata rakyat Malaysia menyaksikan kehidupan Hasmah bersama Mahathir selama beberapa dekad dan akan mengingati jasa beliau sebagai seorang doktor serta keprihatinannya terhadap kesejahteraan awam.
“Kelembutan, kesederhanaan dan keteguhan beliau sepanjang hayat menjadikan beliau insan yang disayangi serta menjadi contoh teladan kepada rakyat Malaysia.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang yang beriman. Saya juga mendoakan semoga Tun Dr Mahathir serta seluruh keluarga dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan yang amat besar ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata Hasmah bukan sahaja tokoh perubatan yang disegani, malah perintis dalam pembangunan penjagaan kesihatan awam, khususnya kesihatan ibu dan anak, kesihatan keluarga serta kesejahteraan masyarakat.
“Sumbangan beliau kepada profesion perubatan, kesihatan awam dan pembangunan masyarakat akan dikenang oleh generasi akan datang,” katanya seperti dipetik Berita Harian dalam ucapan di Kolej Poly-Tech Mara Meru, Perak.
Presiden MCA Wee Ka Siong berkata Hasmah mendedikasikan sebahagian besar hidupnya untuk berkhidmat kepada negara.
“Kehadiran dan sumbangan beliau menyentuh kehidupan ramai orang dan beliau akan dikenang dengan penuh hormat dan kasih sayang oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenang Hasmah sebagai seorang yang ‘baik hati, lucu, mesra dan penuh dengan kebijaksanaan yang hanya lahir daripada kehidupan yang dipenuhi kasih sayang, pengorbanan dan pengalaman’.
Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun kira-kira 9.25 pagi tadi. Jenazahnya dibawa pada 10.48 pagi ke kediamannya di The Mines, Seri Kembangan, Selangor.
Beliau merupakan seorang doktor yang menggunakan kedudukannya sebagai isteri perdana menteri untuk memperjuangkan kesihatan ibu, perancangan keluarga, celik huruf, pencegahan penyalahgunaan dadah dan kesihatan mental.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.