IPCC belum terima aduan salah laku polis dalam kes Yusoff Rawther

Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) belum menerima sebarang aduan salah laku terhadap pegawai polis yang menjalankan siasatan berhubung pertuduhan terhadap bekas pembantu penyelidik, Yusoff Rawther.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata IPCC akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya menerima aduan berhubung perkara itu.
“Sehingga kini, IPCC belum menerima sebarang aduan berkaitan salah laku pegawai polis terbabit,” katanya dalam jawapan bertulis.
Saifuddin menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta perkembangan tindakan diambil polis susulan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Yusoff.
Pada 12 Jun 2025, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Yusoff daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan selepas mendapati polis gagal menyiasat dakwaannya bahawa dia diperangkap, manakala pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Susulan pembebasannya, peguam Yusoff, Rafique Rashid Ali, menggesa polis memberikan perkembangan mengenai laporan polis yang dibuat anak guamnya pada September 2024.
Dalam laporan itu, Yusoff mendakwa dirinya diperangkap dan turut menyenaraikan beberapa individu yang didakwa terbabit dalam rancangan memerangkapnya.
Ketua polis negara ketika itu, Razarudin Husain, kemudian berkata polis menyiasat laporan dibuat Yusoff serentak dengan siasatan terhadap bekas pembantu penyelidik itu berhubung dakwaan mengedar dadah dan memiliki dua pistol tiruan.
Razarudin turut berkata polis sedang menunggu untuk meneliti penghakiman penuh mahkamah bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dan kekurangan dalam siasatan.
Beliau berkata polis juga bersedia menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) serta menambah baik proses penilaian dalaman.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.