PAS guna isu Najib dekati Umno, penganalisis beza pandangan

Pendirian PAS menyambut baik pengampunan bersyarat Najib Razak mencetuskan tafsiran berbeza dalam kalangan penganalisis mengenai kesannya terhadap usaha merapatkan hubungan dengan Umno.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melihat pendirian tersebut sebagai usaha PAS meyakinkan pemimpin dan penyokong Umno bahawa parti itu benar-benar ikhlas untuk bekerjasama.
Sebaliknya, Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berpandangan sokongan terhadap Najib lebih mempunyai nilai politik kepada PAS, terutama dalam mendapatkan sokongan penyokong Umno yang bersimpati terhadap bekas perdana menteri itu.
Syaza berkata, isu Najib mungkin bukan perkara utama bagi PAS, tetapi ia penting kepada Umno sehingga sering dibangkitkan dalam perhimpunan agung parti berkenaan.
“Bagi saya, isu Najib ini bukanlah satu isu yang sangat penting untuk PAS, baik bagi penyokong mahupun pemimpin parti itu. Malah, PAS sama-sama berkempen atas prinsip ‘bersih’.
“Tetapi, disebabkan isu ini penting bagi Umno dan sering disebut dalam setiap PAU, ia menjadi sesuatu yang boleh merapatkan kedua-dua parti,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, persoalan keikhlasan kini menjadi antara cabaran utama hubungan Umno-PAS kerana kedua-dua parti memahami keperluan bekerjasama, namun masih kurang percaya antara satu sama lain.
“Ini adalah cubaan untuk merapatkan hubungan ketika rundingan kerusi pun masih belum selesai, khususnya di Melaka,” katanya.

Namun, Azmi tidak melihat kenyataan PAS itu sebagai faktor yang mampu merapatkan kerjasama kedua-dua parti secara ketara.
Sebaliknya, beliau berkata pendirian PAS terhadap Najib boleh memberikan manfaat politik kepada parti itu dengan menarik simpati pengundi atau penyokong Umno.
“PAS melihat ini sebagai manfaat politik yang mereka boleh raih daripada pengundi ataupun penyokong Umno. Dalam hal ini, saya tidak nampak bahawa kenyataan terkini daripada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan akan membolehkan kerjasama itu lebih rapat. Tidak,” katanya.
Azmi berkata, sokongan PAS terhadap Najib mungkin membantu hubungan kedua-dua parti, tetapi isu itu bukan perkara utama dalam rundingan kerjasama.
“Mungkin boleh dikatakan memudahkan (kerjasama), tetapi saya pasti bahawa dalam perbincangan kerjasama antara kedua-dua parti ini, saya yakin perkara Najib tidak timbul.
“Yang timbul adalah perkara lain, iaitu formula pembahagian kerusi yang paling utama,” katanya.
Pada 18 Sept lalu, PAS menyambut baik pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman di rumah, menyifatkannya sebagai perkembangan bermakna kepada keluarganya dan rakyat Malaysia.
Takiyuddin dalam kenyataan turut melafazkan kesyukuran dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas keputusan itu.
Beliau berkata, Najib sebagai bekas presiden Umno masih boleh memberikan sumbangan idea, pandangan dan pengalaman demi kebaikan negara.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.