Selatan Semenanjung catat IPU tak sihat akibat jerebu berterusan

Melaka, Negeri Sembilan dan Johor masih terjejas jerebu, dengan setiap kawasan tersenarai di tiga negeri selatan Semenanjung itu merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat setakat 10 pagi ini.
Sebanyak 37 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU tidak sihat dan 31 lagi mencatatkan kualiti udara sederhana. Tiada kawasan mencapai kualiti udara baik, bacaan IPU sangat tidak sihat atau berbahaya.
Bacaan IPU 185 di Seremban, Negeri Sembilan tertinggi, manakala Nilai ialah 183 dan Port Dickson 174.
Di Melaka, Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka merekodkan bacaan IPU 184, sementara Alor Gajah 178.
Di Johor, bacaan IPU di Segamat dan Pasir Gudang ialah 183, diikuti Tangkak 181, Kluang dan Larkin 175, Pengerang 172, Batu Pahat 169 dan Kota Tinggi 167.
Kualiti udara tidak sihat turut direkodkan di seluruh Selangor, dengan Johan Setia mencecah 182, Shah Alam 178, Petaling Jaya 169, Banting 168, Klang 166 dan Kuala Selangor 152.
Batu Muda dan Cheras di Kuala Lumpur, serta Putrajaya, merekodkan bacaan IPU 170 setiap satu.
Di Perak, Tasek Ipoh mencatatkan bacaan 179, Tanjung Malim 174, Pegoh Ipoh 173 dan Seri Manjung 159. Taiping pula merekodkan bacaan lebih rendah 130.
Di Pahang, Rompin mencatatkan bacaan 169, Indera Mahkota 162 dan Temerloh 154.
Sungai Petani dan Alor Setar di Kedah pula mencatatkan bacaan 156 serta 153, manakala Kemaman di Terengganu dengan bacaan IPU 153.
Institusi pendidikan di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diarahkan tutup mulai hari ini susulan keadaan jerebu semakin teruk. Sekolah di Johor masih ditutup hingga esok.
Di bawah arahan penutupan itu, sekolah di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 perlu ditutup, manakala sekolah di kawasan dengan bacaan melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut akan ditutup mulai 12 Okt ini.
Sekolah di Pulau Pinang pula masih beroperasi seperti biasa berdasarkan bacaan IPU semasa, tetapi semua aktiviti luar ditangguhkan.
Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dalam kenyataannya memaklumkan, pihak institusi pendidikan perlu mengambil tindakan wajar termasuk mengubah suai, menangguh atau membatal aktiviti luar bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan sentiasa terpelihara.
Bacaan IPU 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 dikategorikan bahaya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.