Agong, Raja Permaisuri ucap takziah pemergian Hasmah

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Dr Hasmah Ali.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda berdua mendoakan Allahyarham dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
Hasmah, isteri kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini.
Berita pemergian Allahyarham disahkan anaknya Mokhzani Mahathir ketika dihubungi Bernama hari ini.
Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.