Pasangan kekasih ditahan cuba langgar polis

Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar Perodua Myvi selepas dua suspek berusia 23 tahun merempuh anggota polis di Jalan Kenari, Bandar Putra, Kulai, awal pagi semalam.
Ketua Polis Kulai, Tan Seng Lee, berkata kejadian itu berlaku kira-kira 1.20 pagi ketika anggota unit rondaan bermotosikal (URB) IPD Kulai sedang meronda kawasan berkenaan.
Beliau berkata, anggota URB menahan sebuah Perodua Myvi hitam dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan mendapati seorang lelaki serta wanita tempatan berada dalam kereta itu.
“Semasa pemeriksaan, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan melanggar motosikal URB serta sebuah Mazda CX-5, selain cuba melanggar anggota polis.
“Susulan itu, anggota URB melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek bagi mempertahankan diri dan memberhentikan kenderaan tersebut. Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.
Tan berkata, seorang anggota URB cedera ringan di bahagian kaki akibat tersepit selepas motosikal dilanggar suspek.
Jelasnya, hasil pemeriksaan pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Johor di tempat kejadian menemui serpihan anak peluru dan kelongsong peluru.
Dalam tempoh kurang 24 jam, katanya, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai menahan pasangan terbabit di sekitar Bandar Putra, Kulai dan Kluang antara 11.30 pagi hingga 8.30 malam tadi.
Beliau berkata, turut dirampas satu alat kawalan jauh dan Perodua Myvi hitam yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
Menurutnya, saringan awal air kencing kedua-dua suspek negatif dadah, manakala semakan mendapati mereka tiada rekod lampau.
“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah dua suspek itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi permohonan reman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 332 kerana sengaja menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam dan Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.