Anwar, Ahli Parlimen Pendang selesai saman fitnah secara baik

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyelesaikan saman fitnah difailkan tiga tahun lalu terhadap Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim.
Peguam Anwar, Sankara Nair, memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa kedua pihak bersetuju menyelesaikan pertikaian tersebut secara baik, dengan Anwar menarik balik saman itu tanpa kebebasan memfailkan semula dan tiada perintah mengenai kos.
Susulan peguam Awang, Yusfarizal Yusoff mengesahkan perkara itu, Pesuruhjaya Kehakiman Roslan Mat Nor membatalkan saman berkenaan mengikut syarat dipersetujui.
Hakim turut melapangkan tarikh perbicaraan yang dijadualkan bulan depan.
Dalam kenyataan bersama yang dikemukakan di mahkamah, kedua pihak menyatakan mereka memutuskan untuk menyelesaikan perkara itu selepas bersetuju bahawa terdapat isu lebih penting yang perlu diberi keutamaan demi kepentingan rakyat dan negara.
Kedua pihak berkata, mereka juga telah mempertimbangkan implikasi prosiding fitnah tersebut, termasuk kos litigasi yang perlu ditanggung.
“Awang Hashim dengan penuh rasa rendah diri dan tanpa bersyarat, menarik balik semua kenyataan dibuat olehnya pada atau sekitar 21 Feb 2023, yang menjadi asas kepada tindakan undang-undang ini, dan bersetuju tidak mengulangi atau menerbitkan semula mana-mana kenyataan sedemikian atau kenyataan membawa maksud sama atau secara substansial serupa, pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
Kedua pihak turut menzahirkan harapan agar penyelesaian itu diterima dan dihormati semua pihak, serta perkara berkenaan tidak lagi dipolitikkan atau dijadikan bahan yang boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan, dan kestabilan negara.
Anwar memfailkan saman terbabit pada Mac 2023 berhubung kenyataan didakwa dibuat Awang pada sidang media di luar Dewan Rakyat pada 21 Feb tahun itu, mengenai pelantikan Anwar sebagai perdana menteri dan tuduhan pendakwaan terpilih.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.