Istana N Sembilan terima menghadap Ismail, belum sahkan peletakan jawatan

Istana Negeri Sembilan masih belum mengesahkan peletakan jawatan Adun Juasseh Ismail Lasim sebagai menteri besar, meskipun perkara itu diumumkan Barisan Nasional (BN) malam tadi.
Pengelola Bijaya Diraja memaklumkan surat peletakan jawatan itu hanya dihantar ke Istana Hinggap di Seremban pada 12.16 tengah malam tadi oleh seorang individu bernama Hamidi, yang mendakwa mewakili firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.
Menurutnya, peletakan jawatan Ismail perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda.
Beliau turut mendedahkan bahawa Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah bersetuju untuk menerima menghadap Ismail dan pemimpin Umno itu dimaklumkan mengenainya pada 8.38 malam tadi.
“Sesi menghadap ditetapkan pada 10 pagi Jumaat (20 Nov).
“Perkenan untuk menghadap itu diberikan 80 minit lebih awal sebelum kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional Zambry Abdul Kadir dimuat naik di Facebook mengenai peletakan jawatan Ismail sebagai menteri besar.
“Istana masih belum mengesahkan kesahihan surat itu, yang menurut Zambry telah ditandatangani Ismail,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Zambry berkata Pengerusi BN Zahid Hamidi telah menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail bertarikh 16 Nov dan gabungan itu menghormati keputusan Adun Juasseh berkenaan.
Zambry berkata Zahid akan mencadangkan calon bagi jawatan menteri besar untuk dipersembahkan kepada Tuanku Muhriz.
Negeri Sembilan terpalit dengan krisis diraja sejak April lalu, apabila empat individu yang mendakwa sebagai Undang mengumumkan penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Undang-Undang yang sama dipertikaikan itu turut didakwa mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah ‘baharu’ dalam satu majlis di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Melaka pada Jun.
Ismail pada awalnya mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai pemerintah, namun pada September menyokong kenyataan yang dikeluarkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), yang didakwa mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Sebagai tindak balas, Tuanku Muhriz menarik balik pelantikan anggota MMKN.
Ismail kemudian menarik balik surat yang dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung dakwaan penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.