Konflik Asia Barat: Malaysia mungkin perlu hadapi 3 senario

Malaysia perlu bersedia menghadapi tiga kemungkinan senario susulan penutupan Selat Hormuz oleh Iran dan penguasaan kawasan strategik di Selat Bab-el-Mandeb oleh Houthi bagi mengurangkan risiko terhadap perdagangan negara.
Penaga Research and Consultancy berkata senario pertama ialah kedua-dua laluan perairan itu dibuka semula atau sekatan dilonggarkan.
Firma itu berkata Malaysia perlu menjadikan kemungkinan itu sebagai senario asas dalam perancangan, bukannya menganggapnya sebagai sesuatu yang jarang berlaku.
Menurutnya, Putrajaya perlu menguji ketahanan perancangan fiskal negara sekiranya harga tenaga kembali normal dan aliran perdagangan tenaga beralih ke laluan lain selepas kedua-dua selat itu dibuka semula.
Penaga berkata Malaysia setakat ini meraih manfaat perdagangan akibat konflik berkenaan apabila eksport gas asli cecair (LNG) melonjak 52%, manakala eksport produk petroleum meningkat 22% pada Ogos.
“Peningkatan ini didorong harga yang tinggi akibat perang, bukannya kerana peningkatan mendadak dalam kapasiti pengeluaran,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Justeru, firma itu berkata kerajaan perlu membezakan antara keuntungan ekonomi sementara yang mudah terjejas dengan manfaat jangka panjang sebenar, seperti pelaburan dalam pembinaan kilang di Malaysia, ketika merangka perancangan fiskal.
Penaga berkata senario kedua yang perlu dihadapi ialah sekatan di kedua-dua laluan perairan itu berterusan, yang kini dianggap sebagai keadaan asas oleh ramai pihak.
Susulan peningkatan kemasukan kargo ke pelabuhan Malaysia termasuk Pelabuhan Klang, firma itu berkata Putrajaya perlu mempercepatkan pembangunan pelabuhan baharu di Pulau Carey serta peluasan Northport bagi menambah kapasiti pelabuhan.
Menurutnya, jumlah kontena yang dikendalikan Pelabuhan Klang meningkat 5.4% kepada 6.38 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) antara Januari hingga Mei tahun ini, berbanding 6.05 juta TEU dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, peningkatan aliran perdagangan, yang sebahagiannya berpunca daripada pengalihan laluan kargo, menyebabkan penggunaan ruang penyimpanan di pelabuhan menghampiri kapasiti maksimum, dilaporkan antara 85% hingga 88%.
Penaga turut membangkitkan isu kerenah dokumentasi apabila permit import berasingan dan pemeriksaan bertindih antara Malaysia dan Singapura masih mengekang kelancaran laluan perdagangan di Johor.
“Jurang dokumentasi ini perlu ditangani dengan menerima pakai undang-undang model Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai rekod elektronik boleh pindah milik, yang setakat ini hanya dilaksanakan sepenuhnya oleh Singapura, supaya dokumen penghantaran digital menerusi Asean Trade Connect mempunyai kedudukan undang-undang sama di kedua-dua belah Tambak Johor.
“Selain itu, proses pemeriksaan di sempadan perlu berasaskan peraturan dan telus, dengan senarai jelas mengenai keadaan yang mencetuskan pemeriksaan serta tempoh pelepasan atau penyitaan yang ditetapkan.
“Ini membolehkan syarikat penghantaran mencari laluan alternatif bagi sekatan tertentu tanpa perlu mengambil kira ketidaktentuan yang terlalu umum dalam penetapan kos,” katanya.
Konflik merebak melangkaui Asia Barat
Senario ketiga pula membabitkan kemungkinan konflik merebak melangkaui dua selat di Asia Barat itu, dengan Penaga antaranya merujuk kepada kemungkinan tindakan kumpulan proksi yang mempunyai kaitan dengan Iran di kawasan lebih ke timur serta ketegangan antara kuasa besar di Laut China Selatan.
Firma itu berkata perubahan pendekatan Houthi daripada menyerang kapal kepada menguasai wilayah mewujudkan satu perkembangan baharu yang perlu diberi perhatian serius oleh perancang dasar di Asia Tenggara.
“Malaysia perlu membina keupayaan institusi bagi menguruskan krisis tanpa terlalu bergantung kepada kredibiliti peribadi mana-mana seorang pemimpin,” katanya sambil mengakui keberkesanan diplomasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Malaysia juga perlu menyediakan protokol tetap bagi menangani risiko membabitkan kapal yang berdaftar di bawah bendera negara serta urusan diplomatik sebelum sesuatu krisis berlaku.
“Secara keseluruhannya, Malaysia setakat ini lebih banyak mendapat manfaat daripada kedudukan geografinya dan kitaran semikonduktor yang berlaku pada waktu tepat, berbanding hasil daripada perancangan yang disengajakan,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.