Selesai formula satu pertiga sebelum tambah kerusi, kata Nancy

Kerajaan persekutuan perlu menyelesaikan formula satu pertiga bagi perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat sebelum penambahan sebarang kerusi Parlimen.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata beliau dan beberapa pemimpin Sarawak, termasuk dalam Jemaah Menteri sudah membangkitkan isu itu, tetapi tumpuan sebelum ini lebih terarah kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Bercakap mengenai perkara itu dari segi kerusi (Parlimen), saya (menyuarakannya) bersama (Menteri Kerja Raya) Alexander Nanta Linggi dalam Kabinet.
“Cara formula satu pertiga itu diwujudkan perlu dibincangkan bersama dari segi perundangannya,” katanya menurut Bernama selepas merasmikan program motivasi dan bimbingan peluang pengajian serta Pameran Akedamik Universiti Teknologi Mara Cawangan Sarawak di Kuching.
Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu itu berkata, perbincangan lanjut bagi menentukan kaedah sesuai perlu diadakan antara premier Sarawak dan ketua menteri Sabah serta kerajaan persekutuan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju secara prinsip meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, selaras kedudukan wilayah itu dalam pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, keputusan itu antara perkara utama dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.