Nazri gesa kaji semula penamatan bebas visa warga India
Nazri Aziz menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan menamatkan kemasukan tanpa visa bagi warga India, yang dibimbangi menjejaskan sektor pelancongan dan hubungan dua hala.
Bekas menteri pelancongan itu berkata kerajaan perlu meneliti jumlah sebenar warga India yang menyalahgunakan kemudahan itu untuk bekerja atau tinggal melebihi tempoh dibenarkan sebelum menarik balik pengecualian visa kepada semua pelawat dari negara berkenaan.
“Kerajaan patut mempertimbangkan semula keputusan itu. Kita kena jaga hubungan baik dengan India, lebih-lebih lagi ketika Malaysia mahu menarik lebih ramai pelancong.

“Kalau 100,000 orang tidak pulang, itu memang masalah besar. Kerajaan patut mengambil tindakan. Tetapi kalau jumlahnya kurang daripada 1,000 orang, misalnya, adakah wajar kita menyekat kemudahan kepada semua pelancong India?” katanya dalam temu bual bersama FMT.
Beliau mengulas pengesahan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bahawa pengecualian visa selama 30 hari bagi warga India akan ditamatkan pada 31 Dis ini bagi membolehkan saringan lebih ketat dilakukan sebelum mereka tiba di Malaysia.
Imigresen turut mengeluarkan notis pada 17 Nov lalu memaklumkan pemegang pasport India perlu mendapatkan visa yang sah untuk memasuki Malaysia mulai 1 Jan 2027. Permohonan boleh dibuat melalui portal MyVISA bermula 1 Dis ini.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dilaporkan berkata pengecualian itu dijadualkan tamat pada 31 Dis, namun kemungkinan untuk melanjutkannya masih terbuka.
Terdahulu, pada 22 Sept, Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur memberi amaran mengenai peningkatan warga India yang menyalahgunakan kemudahan tanpa visa untuk mencari pekerjaan, termasuk mereka yang diperdaya ejen menawarkan pekerjaan palsu.
Malaysia memperkenalkan kemudahan itu pada Disember 2023 bagi merancakkan semula sektor pelancongan selepas pandemik Covid-19, dengan warga India dibenarkan berada di negara ini sehingga 30 hari tanpa visa.
Nazri yang juga bekas duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat turut mengingatkan India pasaran pelancongan penting bagi Malaysia, dengan ketibaan pelawat dari negara itu meningkat 14.6% kepada 1.56 juta orang pada 2025, berbanding 1.36 juta pada tahun sebelumnya, menurut Tourism Malaysia.
Katanya, penamatan pengecualian visa juga berisiko menyinggung perasaan rakyat India, terutama apabila pelawat dari negara lain masih menikmati kelonggaran sama.
Beliau bimbang keadaan itu boleh menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara, malah mendorong pelancong India memboikot Malaysia.
“Jangan kerana dua atau tiga orang melakukan kesalahan, kita menghukum seluruh kelompok. Bak kata orang, kalau hendak menangkap nyamuk, tangkaplah nyamuk. Jangan sampai membakar kelambu,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.