PRN Melaka: PN nafi pertikaian komponen 1 calon tak diumum

Perikatan Nasional (PN) menegaskan keputusan tidak mengumumkan seorang daripada enam calon PRN Melaka bukan berpunca pertikaian antara parti komponennya.
Pengerusi Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata penangguhan pengumuman calon bagi kerusi itu dibuat kerana gabungan masih meneliti beberapa perkara, sebelum memuktamadkan pemilihan calon terbaik.
“Ada satu kerusi yang tidak diumumkan. Kita bukan ketandusan calon, cuma ada beberapa penilaian yang sedang diteliti dan perlu dibuat pertimbangan akhir. Ada beberapa perkara berbangkit yang perlu kita selesaikan.
“Tidak ada sebarang pertikaian (antara komponen)…penangguhan itu hanya disebabkan calon sahaja. Sebelum penamaan calon, kita akan selesaikan semua,” katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman calon PN di Bukit Katil, malam tadi.
Pada majlis itu, PN hanya mengumumkan calon bagi DUN Paya Rumput, Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang dan Bemban, manakala calon kerusi Kota Laksamana akan diumumkan kemudian.
PN dan Barisan Nasional (BN) yang menjalinkan kerjasama bagi PRN Melaka masing-masing bertanding enam dan 22 kerusi.
Mengulas keputusan memberikan laluan kepada MCA di kerusi Bandar Hilir, Samsuri berkata perkara itu telah dipersetujui bersama.
Ditanya sama ada kemelut pentadbiran di Negeri Sembilan akan menjejaskan peluang kerjasama BN-PN untuk memenangi PRN Melaka, Samsuri menolak tanggapan itu.
“(Krisis di Negeri Sembilan) tidak memberi kesan kepada BN-PN di Melaka,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.