Pemimpin Amanah tolak, Hassan sokong timbang peranan ketua pembangkang tentukan agenda Parlimen

Cadangan memberi ketua pembangkang peranan menentukan agenda persidangan Dewan Rakyat mendapat reaksi berbeza daripada pemimpin blok kerajaan, dengan Amanah menolaknya manakala seorang Ahli Parlimen PKR mahu perkara itu dipertimbangkan lebih lanjut.
Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata tiada keperluan melaksanakan cadangan itu ketika ini, manakala Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mengalu-alukan langkah berkenaan dan mahu ia dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Parlimen.
Faiz berkata walaupun amalan seumpama itu wujud di beberapa negara maju, pendekatan berkenaan tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana menurutnya pembangkang masih belum menunjukkan kematangan sebagai semak dan imbang.
“Walaupun ada beberapa negara maju seperti United Kingdom dan Kanada mengamalkan cadangan itu, pembangkang di sana benar-benar matang dalam melaksanakan peranan mereka sebagai semak dan imbang yang berkesan,” katanya kepada FMT.
Beliau memberi contoh tindakan sebahagian Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan ketika perbahasan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji, menyebabkan hanya wakil kerajaan dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan.
Faiz turut mempersoalkan pendirian pembangkang dalam menentukan ketua mereka selepas Ahmad Samsuri Mokhtar memegang jawatan ketua pembangkang untuk tempoh singkat sebelum Hamzah Zainudin kembali menggalas tugas itu, walaupun PAS merupakan blok terbesar pembangkang.
Menurutnya, pembangkang juga tidak membentangkan bajet alternatif seperti yang lazim dilakukan di beberapa negara maju, sedangkan Pakatan Harapan (PH) pernah berbuat demikian ketika berada dalam pembangkang.
Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan) Saifuddin Abdullah pada Jumaat mencadangkan ketua pembangkang diberikan peranan menentukan agenda persidangan Dewan Rakyat sebagai sebahagian usaha memperkukuh amalan perundingan dalam sistem demokrasi.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata pendekatan berkenaan antara pembaharuan yang perlu dipertimbangkan dalam sistem, institusi, kepimpinan dan kerajaan.
Bagaimanapun, Hassan mengambil pendirian berbeza dengan Faiz apabila mengalu-alukan cadangan Saifuddin dan mencadangkan perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk penelitian.
Beliau berkata sekiranya persetujuan dicapai mengenai bentuk kuasa dan peranan ketua pembangkang dalam menentukan agenda Parlimen, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat perlu dipinda bagi memberi asas perundangan kepada perubahan itu.
“Jika persetujuan telah dicapai tentang apa bentuk kuasa dan format peranan ketua pembangkang dalam turut sama menentukan agenda Parlimen yang selama ini dikuasai sepenuhnya oleh perdana menteri selaku ketua majlis Dewan Rakyat dan beberapa hal prosedur oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, maka Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat perlulah dipinda,” katanya.
Hassan berkata perubahan itu boleh memperkukuh proses semak dan imbang serta meningkatkan kebertanggungjawaban kerajaan.
Katanya, langkah itu juga sejajar dengan kedudukan Parlimen yang kini lebih bebas selepas pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen, selain dapat memperkukuh prinsip pengasingan kuasa antara badan eksekutif dan legislatif.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.