PBM gesa henti nyahwarta hutan simpan di Selangor

Parti Bangsa Malaysia (PBM) menggesa kerajaan Selangor segera melaksanakan moratorium terhadap semua proses nyahwarta hutan simpan kekal (HSK) dan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) bagi menangani masalah banjir berulang di negeri itu.
Sebagai alternatif, parti itu mencadangkan kerajaan negeri menghentikan penggunaan Seksyen 10 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 bagi menyekat pengeluaran lesen kecil kuari seperti di Hutan Simpan Bukit Lagong.
Ketua Penerangan PBM, Ronnie Liu dan Pengerusi Biro Alam Sekitar, Abdul Razak Ismail, dalam kenyataan bersama mendakwa pentadbiran Selangor selepas Khalid Ibrahim gagal mengambil tindakan tegas melindungi hutan simpan yang berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan.
Mengambil contoh Hutan Simpan Bukit Lagong seluas 3,700 hektar, PBM mendakwa plot kuari seluas 100 ekar setiap satu diberikan kepada 27 syarikat, termasuk beberapa syarikat dengan modal berbayar serendah RM2 dan RM5.
“Aktiviti kuari di kawasan itu mengakibatkan kejadian banjir kilat dan banjir lumpur di beberapa kampung berhampiran, termasuk merosakkan kolam tadahan air kegunaan masyarakat Orang Asli di Hulu Kuang dan Sungai Buloh,” menurut kenyataan.
PBM mendakwa, wujud pola dalam pengurusan hutan simpan di Selangor, termasuk pengisytiharan hutan tadahan hujan sebagai hutan miskin, proses nyahwarta yang dikuatkuasakan secara retrospektif serta pengeluaran lesen kuari tanpa melalui proses nyahwarta dan pendengaran awam.
Parti itu turut menuntut kerajaan negeri mendedahkan kelulusan penilaian kesan terhadap alam sekitar (EIA) bagi projek di Hutan Simpan Sungai Buloh dan Bukit Cherakah, selain laporan serta kandungan perjanjian projek tanaman jagung di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan.
PBM juga mencadangkan kawasan hutan yang diceroboh di Hutan Simpan Sungai Buloh dan Bukit Tarek ditanam semula dengan pokok hutan, bukannya meneruskan proses nyahwarta.
Dalam pada itu, kerajaan negeri digesa menimbang semula pelaksanaan projek Smart Selangor Agro Park (SSAP) di Sungai Panjang dan Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, berikutan kepentingan hutan paya gambut dalam memelihara ekosistem dan mengawal hakisan pantai.
PBM turut menggesa penubuhan jawatankuasa bebas bagi menyediakan kertas putih untuk mengenal pasti punca banjir, menilai kerugian ditanggung penduduk serta mengesyorkan langkah mitigasi yang perlu dilaksanakan kerajaan negeri dan agensi berkaitan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.