Lelaki maut dibaham harimau belang ketika cari rotan

Seorang lelaki Orang Asli ditemui maut dipercayai dibaham harimau belang ketika mencari rotan di kawasan hutan di berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor di Sungai Siput, Perak semalam.
Mayat mangsa, Zamberi Angah, 42, ditemukan 6.58 petang di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak kira-kira 200m dari lokasi serangan, lapor Berita Harian.
Difahamkan, lelaki itu bersama seorang rakannya masuk ke kawasan hutan dalam Hutan Simpan Korbu untuk mencari rotan.
Timbalan Ketua Polis Sungai Siput, Rohaizimi Razali yang mengesahkan menerima laporan kejadian itu, berkata pihak Perhilitan kini sedang mengesan untuk menangkap harimau belang berkenaan.
“Hari ini pihak unit harimau Perhilitan akan memasang satu perangkap harimau antara Kampung Takong dengan Hutan Simpan Korbu,” katanya.
Sementara itu, Adun Lintang, Mohd Zolkafly Harun dalam satu hantaran di Facebook menasihatkan penduduk supaya tidak memasuki kawasan berkenaan buat sementara waktu, sentiasa berwaspada dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa
Katanya, beliau bersama isteri turut meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa bagi menyampaikan ucapan takziah selain menghulurkan sedikit sumbangan bagi membantu meringankan bebannya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.