SPR kerjasama dengan SKMM selepas dakwaan serangan siber

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta pihak berkaitan bagi melindungi laman webnya daripada sebarang pencerobohan susulan dakwaan serangan siber.
Pengerusi SPR, Ramlan Harun, berkata laporan berhubung perkara itu telah dibuat kepada pihak berkaitan sebagai langkah awal memastikan sistem SPR terus dilindungi.
“Kita telah bekerjasama dengan semua pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan perkara tersebut tidak berlaku. Insya-Allah,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal PRN Melaka di Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak, Sungai Udang, di sini.
Beliau berkata, SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
“Saya tidak dapat laporan penuh lagi berkenaan perkara itu dan insya-Allah SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh terdekat.
“Kita sama-sama berdoa agar serangan siber itu tidak menyerang laman web kita kerana ia amat penting dalam melaksanakan pilihan raya ini.”
Terdahulu, siaran langsung SPR di media sosial memaklumkan laman webnya dipercayai berdepan ancaman serangan siber.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.