ESPN DeportesBears dominan a Eagles en ChicagoThe Jerusalem PostNew film reveals previously undisclosed details of Mossad's Hezbollah pager operationInquirerNBI: Velasco, wife currently out of the country한겨레산모 배처럼 부푼 따스한 벽…우순옥의 개념미술을 추억하다UOLJato que derrubou avião da Gol em 2006 continua voando por empresa mexicanaالنهارسيمون كرم في الفاتيكان: قناة ضغط جديدة لإنقاذ مسار التفاوض؟SBS 뉴스장동혁 "김정은, '패가망신' 시켜야 하지 않는가?"CBS NewsSenate approves sweeping bill to regulate college sportsالشرقبوتين يقر زيادة قوام الجيش الروسي.. وموسكو ترفع الإنفاق العسكري 27%Malay MailHazy conditions descend on Malaysia again as 31 areas hit ‘Unhealthy’ APISportstarAsian Games 2026: India women’s trap shooting team clinches silver, Neeru qualifies for finalEl Comercio¿Trump le preguntó a Xi Jinping si China quería comprar armas de EE.UU.? Lo que hay detrás de la polémica
The Daily Newsstand · Free, Always
Tuesday, September 29, 2026

Mengenang Dr Hasmah: 10 kisah daripada kehidupan penuh pencapaian

Translate

Bagi ramai rakyat Malaysia, Dr Hasmah Ali dikenali sebagai individu yang sentiasa berada di sisi bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Namun, di sebalik wajah yang cukup dikenali itu, Hasmah mempunyai kisah hidupnya sendiri yang dipenuhi pencapaian, sifat ingin tahu, semangat belajar dan jenaka.

Susulan pemergiannya semalam pada usia 100 tahun, berikut 10 kisah yang memberi gambaran lebih dekat mengenai wanita yang menjalani kehidupan luar biasa itu.

1. Menjadi doktor sebelum merdeka

Jauh sebelum dikenali dalam kehidupan awam, Hasmah sudah menjadi sebahagian daripada generasi perintis wanita Melayu dalam bidang perubatan.

Selepas Perang Dunia Kedua, beliau melanjutkan pengajian di King Edward VII College of Medicine di Singapura menerusi biasiswa dan menjadi satu-satunya wanita Melayu dalam kelompok pelajarnya.

Hasmah menamatkan pengajian pada 1955 sebelum menjalani latihan sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Kuala Lumpur.

2. Bertemu Mahathir di kolej perubatan

Hasmah dan Mahathir mula belajar di King Edward VII College of Medicine pada 1947. Kedua-duanya ketika itu mengejar cita-cita menjadi doktor.

Hubungan mereka semakin rapat ketika belajar. Hasmah pernah menceritakan bagaimana Mahathir menawarkan diri membantunya dalam pelajaran, terutama fizik yang agak sukar baginya.

Beliau mengakui bantuan Mahathir turut membantunya mengharungi pengajian perubatan.

Pasangan itu berkahwin pada Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh anak. Tahun ini genap tujuh dekad perkahwinan mereka, sebuah perjalanan yang bermula ketika sama-sama bergelar pelajar perubatan.

Detik mesra Hasmah bersama Mahathir dalam sebuah video yang dimuat naik ke akaun YouTube bekas perdana menteri itu pada 2021.

3. Memperjuangkan kesihatan ibu dan kanak-kanak

Selepas berkahwin dan berpindah ke Alor Setar, Hasmah bertugas di hospital besar di bandar itu selain terlibat dalam program kesihatan untuk masyarakat luar bandar.

Pada 1974, beliau menjadi pegawai kesihatan ibu dan kanak-kanak wanita pertama di Kedah.

Minatnya dalam bidang itu tidak terhenti di bilik rawatan. Hasmah turut menulis mengenai perubatan keluarga serta keadaan sosial dan ekonomi yang mempengaruhi kehidupan wanita ketika mengandung dan melahirkan anak.

4. Sebenarnya bukan ‘Siti’ sejak lahir

Walaupun dikenali ramai sebagai Siti Hasmah, beliau pernah mendedahkan satu perkara yang mungkin mengejutkan sesetengah orang.

Dalam wawancara audio siar pada 2024, Hasmah memberitahu nama yang diberikan kepadanya ketika lahir hanyalah “Hasmah”.

Menurutnya, “Siti” mula ditambah pada namanya selepas beliau dan Mahathir berpindah dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.

“Sekarang ada Siti Nurhaliza, dulu ada Siti ini, Siti itu. Jadi mereka tambah ‘Siti’ di depan nama saya. Tapi saya cuma Dr Hasmah,” katanya.

Hasmah membuat persembahan pada majlis makan malam gala Kelab Alumni SMK St Mary di Kuala Lumpur pada Julai 2019. (Gambar Bernama)

5. Kembali bermain biola pada usia 86 tahun

Hasmah berhenti bermain biola ketika berusia 16 tahun untuk memberi tumpuan kepada pelajaran.

Tujuh dekad kemudian, pada usia 86 tahun, beliau kembali bermain alat muzik itu.

Segalanya bermula apabila Hasmah diundang membuat persembahan dalam konsert amal. Pada mulanya beliau menawarkan diri untuk menyanyi, namun penganjur mencadangkan sesuatu yang berbeza.

Walaupun sudah begitu lama tidak bermain biola, Hasmah mencari guru dan mula belajar semula.

Menurut anaknya, Marina, ibunya terpaksa belajar kembali cara memegang biola dan penggesek. Masalah penglihatan pula menyebabkan Hasmah perlu menghafal setiap lagu yang mahu dimainkan.

Usahanya membuahkan hasil apabila beliau membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas pada 2016.

Pada makan malam alumni sekolah tiga tahun kemudian, persembahannya termasuk lagu “You Raise Me Up” dan “Que Sera Sera” menerima tepukan gemuruh serta penghormatan berdiri daripada hadirin.

Malah pada Ogos tahun lalu, ketika berusia 99 tahun, Hasmah masih berada di pentas dengan biolanya, kali ini bersama seorang lagi “Siti” – penyanyi tersohor Siti Nurhaliza – di Multimedia University.

Pada usia 99 tahun, Hasmah masih bermain biola dalam persembahan secara langsung termasuk berkongsi pentas dengan Siti Nurhaliza. (Gambar Multimedia University)

6. Belajar bahasa Perancis ketika berusia 70-an

Hasmah juga membuktikan usia bukan penghalang untuk mempelajari bahasa baharu.

Menurut Marina, ibunya mula mempelajari bahasa Perancis ketika berusia dalam lingkungan 70-an kerana mahu berbual dengan keluarga mentuanya ketika itu yang tidak boleh berbahasa Inggeris. Suami pertama Marina, Didier Roussille, berasal dari Perancis.

Hasmah bukan sekadar belajar secara santai. Beliau menduduki peperiksaan dan lulus.

Ibu dan anak itu juga saling menghantar mesej dalam bahasa Perancis untuk berlatih, walaupun Marina mengakui kekurangan peluang berbual menyebabkan ibunya agak sukar menguasai pertuturan.

Ketika memberi penghormatan sempena ulang tahun ke-99 Hasmah pada Julai tahun lalu, Marina mendedahkan ibunya ketika itu turut cuba mempelajari bahasa Jepun.

Hampir mencecah usia satu abad pun, Hasmah masih mencari sesuatu yang baharu untuk dipelajari.

7. Belajar erhu pada usia 89 tahun

Pada Disember 2015, Hasmah mencabar dirinya sekali lagi apabila mula belajar bermain erhu, alat muzik tradisional Cina bertali dua.

Marina kemudian berkongsi satu cerita yang cukup mencuit hati mengenai perkembangan ibunya.

Ketika itu, lagu yang mampu dimainkan Hasmah dengan erhu hanyalah “Twinkle Twinkle Little Star”.

Walaupun sudah mempunyai pengalaman bermain biola, piano dan gamelan, beliau tidak keberatan untuk kembali menjadi seorang pemula dan bermula dengan lagu yang paling mudah.

tun siti hasmah thomas cup

Sebagai figura ibu kepada skuad juara Piala Thomas 1992, Hasmah memberi semangat dan membantu merapatkan hubungan antara pemain. (Gambar Bernama)

8. Membantu meredakan ketegangan skuad Piala Thomas

Minat Hasmah terhadap badminton bukan sekadar bersorak dari tempat duduk penonton.

Mengimbau kemenangan Malaysia dalam Piala Thomas 1992, beliau pernah menceritakan bagaimana mengetahui pasangan beregu Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang ketika itu tidak begitu sehaluan.

Hasmah menemui mereka secara berasingan dan memberitahu kedua-duanya bahawa masing-masing tidak mungkin mendapat pasangan lebih baik daripada seorang lagi.

Pasangan itu kemudian membantu Malaysia meraih mata kemenangan menentang Indonesia.

Ketika skuad berkenaan berkumpul semula pada 2019, Hasmah menyifatkan peranannya sebagai penaung pasukan seperti seorang ibu kepada pemain.

Pertemuan semula itu begitu menyentuh perasaannya sehingga beliau menitiskan air mata.

9. Kemahiran mengemas beg pun dipuji pegawai kastam

Hasmah juga terkenal dalam kalangan keluarganya kerana cukup teliti ketika mengemas barang.

Menurut Marina, ibunya begitu pandai menyusun pakaian dalam beg sehingga seorang pegawai kastam di Heathrow pernah memuji kekemasan barang dalam beg Marina.

Bertahun-tahun kemudian, giliran Marina pula memperkenalkan ibunya kepada “packing cubes”, iaitu beg kecil untuk menyusun barang dalam bagasi.

Hasmah terus menggunakannya.

Ia mungkin kisah kecil, tetapi cukup menggambarkan hubungan ibu dan anak serta sifat Hasmah yang sentiasa terbuka mempelajari sesuatu, termasuk daripada anaknya sendiri.

10. Sambut usia 90 tahun dengan menceritakan kisah sendiri

Memoir Hasmah, “My Name is Hasmah”, diterbitkan pada 2016, ketika beliau berusia 90 tahun.

Hasmah ketika muda, sebelum melalui perjalanan panjang dalam bidang perubatan, muzik dan khidmat kepada masyarakat.

Buku itu merakam kisah zaman kanak-kanak, kerjaya perubatan, keluarga dan pengembaraannya, termasuk beberapa cerita yang sebelum itu tidak pernah diketahui Marina.

Hasmah berkata beliau hanya mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan buku berkenaan.

Beliau turut berseloroh membandingkannya dengan Mahathir yang mengambil masa lapan tahun untuk menyiapkan bukunya.

Ia mungkin cara paling sesuai untuk menandakan usia 90 tahun.

Selepas sekian lama masyarakat mengenalinya sebagai wanita yang berdiri di sisi seorang tokoh besar negara, Hasmah akhirnya menceritakan perjalanan hidupnya sendiri dengan suaranya sendiri.

Dan melalui kisah-kisah itulah terserlah seorang wanita yang bukan sahaja banyak berbakti, tetapi tidak pernah berhenti belajar, mencuba perkara baharu dan menikmati kehidupan hingga ke penghujung usia.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.