PAS, kenali leluhur Tuanku Aishah Rohani


Saya kira jika kita bercakap mengenai Umno yang berusaha di Negeri Sembilan untuk membetulkan keadaan bodoh yang mereka sendiri ceburi, kita akan menepuk dahi berkali-kali. Perbuatan Umno dan PAS di Negeri Sembilan sudah terlalu ‘ayoyo dan haiya’ untuk dimuhasabah. Apabila pelajar saya bertanya mengenai pusingan U 10 exco Barisan Nasional dan Perikatan Nasional saya memang kesal. Saya memang berdecit dan menggeleng kepala. Umno dan PAS tidak rajin membaca, dan belajar.
Sepuluh exco BN dan PN yang kurang cerdas itu terdiri Adun Linggi, Mohd Faizal Ramli; Zaifulbahri Idrisi (Chembong), Mustapha Nagoor (Palong), Siow Kong Choon (Chennah), Siti Nur Umaira Hasim (Labu), Mohd Asna Amin (Lenggeng), Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui), Suhaimizan Bizar (Gemencheh), Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Razali Abu Samah (Sikamat).
Memang terdapat perkembangan baharu susulan surat bertarikh 10 Nov 2026 yang mana Menteri Besar Ismail Lasim bersama 10 bekas exco berkenaan telah membuat pusingan U, tetapi soalnya, mereka adalah pimpinan politik yang dipilih rakyat. Mengapa pimpinan sebegini tidak rajin membaca dan belajar?
Kepada pelajar saya itu, saya menjawab begini; “Betapa bodohnya Umno dan PAS yang berusaha untuk menjatuhkan suami Tuanku Aishah Rohani, iaitu Yamtuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Bukan sahaja Tuanku Aishah Rohani adalah berketurunan anak gahara, baginda juga adalah anak daripada keturunan agamawan dan bangsawan yang baik-baik dari Terengganu. Ini sahaja memadai menjadi indikasi untuk menimbangkan banyak perkara.”
Umno dan PAS tidak rajin membaca, dan belajar.
Terlalu banyak telah dipertimbangkan mengenai kedudukan Yamtuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz dari segi adat dan lain-lain; sekarang masanya tiba untuk menimbangkan kedudukan Tuanku Aishah Rohani, isteri Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz.
Kiat boleh faham jika penyokong Umno bebal. Al maklum perasuah pun masih mereka sokong, tetapi ahli PAS tidak sepatutnya bodoh. Oleh sebab yang menderhaka di Negeri Sembilan itu ada dalam kalangan mereka adalah Adun daripada PAS, saya ingin membawa pembaca PAS ke negeri Terengganu. Ini kerana Terengganu adalah negeri solid PAS. Terengganu juga adalah negeri presiden PAS. Justeru, dalam banyak keadaan Terengganu ada tempat istimewa dalam kepala ahli PAS. Ya, kalau mereka rajin membaca dan mahu belajar.
Leluhur Tuanku Aishah Rohani, iaitu Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan berasal dari Terengganu. Nenda baginda Tuanku Aishah adalah Haji Su Mahmud (juga dikenali sebagai Che Su Mahmud). Haji Su adalah anak kepada menteri besar Terengganu yang pertama, iaitu Ngah Muhammad Yusof yang berasal dan bertapak di Kampung Batu Burok, Kuala Terengganu. Ibu Haji Su adalah Cik Teh Fatimah Ali.
Haji Su Mahmud dipandang terhormat di Terengganu yang mana sebelum kematiannya pada tahun 1940, beliau telah mewakafkan kediamannya untuk menjadi bangunan Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA). Beliau juga adalah bekas pegawai daerah di Kuala Berang ketika pendudukan Jepun.
Anak perempuan Haji Su iaitu Zainun-Mariam binti Haji Su Mahmud, berkahwin dengan kerabat Terengganu, dan merupakan bonda kepada Tuanku Aishah Rohani (Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan). Ayahanda Tuanku Aishah Rohani adalah Almarhum Tengku Besar Mahmud (Tengku Seri Utama Raja Tengku Besar Mahmud Sultan Zainal Abidin III Terengganu). Dalam erti kata lain, Tuanku Ampuan Negeri Sembilan adalah cucunda kepada Sultan Terengganu iaitu Almarhum Sultan Zainal Abidin III, merangkap cucu kepada menteri besar Terengganu.
Memahami nasab dan leluhur Tuanku Aishah baik dari jalur ayahanda atau bondanya ini sangat penting. Ini kerana baginda merupakan anakanda saudara kepada tiga orang Sultan Terengganu iaitu Almarhum Sultan Haji Muhammad II Muadzam Shah, Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, dan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin yang merupakan Yang di-Pertuan Agong keempat. Ini juga menjadikan baginda Tuanku Aishah Rohani bonda saudara kepada Sultan Terengganu iaitu Sultan Mizan Zainal Abidin dan juga bonda saudara kepada Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid yang merupakan cucunda kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.
Keadaan ini juga meletakkan Tuanku Aishah Rohani sebagai sepupu kepada Almarhum Sultanah Asma Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang merupakan bonda tiri kepada Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan bonda kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah. Sekali gus menjadikan baginda berpangkat bonda saudara kepada Sultan Sallehuddin.
Dalam konteks orang Melayu, dan adatnya, status anak gahara atau anak raja yang lahir daripada pasangan yang kedua-duanya berdarah diraja atau bangsawan sangatlah mustahak dipertimbangkan. Dalam hal melibatkan pewarisan takhta, anak gahara dianggap mempunyai jurai keturunan yang paling tulen. Justeru, mereka akan sentiasa diberikan keutamaan mutlak untuk menaiki takhta atau dilantik sebagai putera mahkota berbanding anak raja yang ibunya daripada orang kebanyakan (atau bukan berdarah raja). Hal ini adalah untuk mengelakkan konflik di mana pelantikan waris yang bukan anak gahara sering ditentang oleh kerabat diraja atau pembesar negeri. Ia juga merupakan petunjuk kepada keabsahan selain menjadi simbol kedaulatan.
Di Negeri Sembilan soal status anak gahara pernah sekali sahaja tidak dipertimbangkan. Kita faham sistem beraja di Negeri Sembilan mengamalkan sistem pemilihan oleh Undang Yang Empat. Ini misalnya terlihat setelah Almarhum Tuanku Munawir (anak gahara) mangkat pada tahun 1967, Undang Yang Empat ketika itu telah sebulat suara memilih Tuanku Ja’afar (bukan anak gahara) untuk menaiki takhta sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10. Tambahan pula usia anakanda Tuanku Munawir (yakni Tuanku Muhriz yang merupakan anak gahara) masih muda.
Namun demikian saya tetap percaya jurai anak gahara ini penting dalam masyarakat Melayu terutama apabila berlaku perselisihan menentukan siapakah yang lebih absah menjadi raja. Atas sebab itulah maka takhta Yamtuan Besar dikembalikan kepada jurai Tuanku Muhriz. Jurai yang ‘terbonam’ pula meletakkan keadaan menjadi rumit.
Seperti telah ditunjukkan, Tuanku Aishah Rohani mempunyai keterserlahan jurai baginda dengan cara tersendiri. Baginda bukan sahaja melengkapkan suaminya, Tuanku Muhriz, tetapi menjadikan kedudukan Yamtuan Besar Negeri Sembilan itu istimewa dengan cara unik. Bukan sahaja kehadiran baginda itu meletakkan Negeri Sembilan bertaut dengan keluarga diraja negeri lain, hari ini bahkan baginda adalah bonda kepada dua daripada empat Putera Berempat Negeri Sembilan. Mereka adalah Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz; dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz. Pemilihan Yamtuan Besar Negeri Sembilan mendatang akan dipilih oleh Undang yang sah hari ini daripada Putera Empat.
Makanya, jawapan saya kepada pelajar saya memang valid dan relevan; bahawa ahli Umno dan PAS mesti terus membaca agar pandai. Malulah sudah diundi rakyat tetapi masih bebal. Supaya kita yang sedikit cerdik ini tidak menepuk dahi seraya mendecit ‘ayoyo atau haiya’ melihatkan tingkah laku mereka. Ini kerana dari segi Adat Perpatih, mahupun pertimbangan Adat Temenggung (disokong isterinya), Tuanku Muhriz Tuanku Munawir beroleh markah penuh.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.