Tambahan dana tabung bantuan perubatan tepat pada masanya, kata pakar

Langkah Kementerian Kesihatan meningkatkan peruntukan Tabung Bantuan Perubatan kepada RM60 juta menerusi Belanjawan 2027 disifatkan sebagai tepat pada masanya bagi meringankan beban kewangan rakyat berpendapatan rendah yang berdepan peningkatan kos penjagaan kesihatan, menurut pakar.
Tambahan RM20 juta itu akan memperluas jaringan keselamatan penting bagi pesakit daripada golongan rentan yang tidak mampu menanggung kos peralatan perubatan mahal dan ubat-ubatan khusus.
Tabung itu menyediakan bantuan kepada rakyat Malaysia berpendapatan rendah dengan menanggung sebahagian atau keseluruhan perbelanjaan perubatan mereka, termasuk kos rawatan, ubat-ubatan dan peralatan pemulihan.
Pekerja sosial perubatan di hospital turut membantu mereka yang perlu memohon bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan untuk diri sendiri atau ahli keluarga.
Kos rawatan meningkat dengan ketara susulan inflasi. Pada 10 Nov, Jabatan Perangkaan mendedahkan inflasi kesihatan meningkat kepada 3% pada 2025 berbanding 1.3% pada tahun sebelumnya. Dalam tempoh sama, inflasi perkhidmatan kesihatan meningkat kepada 4.4%.

Pakar kesihatan awam, Dr Zainal Ariffin Omar menyifatkannya sebagai tindak balas penting terhadap kenaikan inflasi penjagaan kesihatan, khususnya bagi pesakit yang memerlukan peralatan perubatan mahal seperti implan tulang dan stent jantung, selain ubat-ubatan khusus.
Beliau berkata bantuan bersasar itu dapat menampung kekurangan pembiayaan bagi rawatan penting yang tidak dilindungi sepenuhnya oleh insurans atau kemampuan kewangan pesakit sendiri, terutama apabila perbelanjaan perubatan melibatkan bayaran sekali gus dalam jumlah besar.
“Ini merupakan komponen utama perlindungan kewangan dalam penjagaan kesihatan, yang bertujuan mengelakkan seseorang daripada jatuh miskin akibat perbelanjaan perubatan, bukannya menyediakan rawatan percuma sepenuhnya,” katanya kepada FMT.
Zainal berkata ia amat penting memandangkan semakin ramai bergelut untuk mengekalkan perlindungan insurans perubatan swasta, sekali gus berkemungkinan meningkatkan kebergantungan mereka kepada kemudahan penjagaan kesihatan awam.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Sivanaesan Letchumanan turut menyambut baik peningkatan itu sambil menyatakan bayaran daripada poket sendiri merangkumi 38.8% daripada keseluruhan perbelanjaan kesihatan Malaysia pada 2024.
“Tiada pesakit sepatutnya terpaksa menangguhkan atau mengetepikan rawatan perubatan penting hanya kerana tidak mampu membayarnya. Kelewatan mendapatkan rawatan boleh memburukkan keadaan kesihatan dan mengakibatkan komplikasi yang lebih mahal untuk dirawat,” katanya.
Sivanaesan menggesa kementerian mengkaji penggunaan tabung secara berkala serta tempoh pemprosesan permohonan bagi memastikan pesakit menerima bantuan tepat pada masanya, selain menyediakan peruntukan tambahan sekiranya permintaan melebihi jumlah yang diperuntukkan.
Bagaimanapun, Zainal mengingatkan tabung itu lebih berfungsi sebagai jaringan keselamatan ketika kecemasan berbanding penyelesaian menyeluruh terhadap peningkatan kos penjagaan kesihatan.
Beliau turut menekankan peranan saling melengkapi inisiatif penjagaan kesihatan kerajaan yang lain, termasuk PeKa B40, mySalam dan MediAsas, yang menangani aspek berbeza berkaitan kemampuan mendapatkan rawatan kesihatan, daripada pengesanan awal kepada bantuan kewangan dan perlindungan insurans.
Walaupun inisiatif berkenaan boleh menyediakan perlindungan kewangan yang lebih menyeluruh, Zainal menegaskan perlunya penilaian dibuat bagi memastikan pembiayaan dan skop perlindungannya mencukupi untuk menangani peningkatan inflasi penjagaan kesihatan.
Sivanaesan berkata keberkesanan MediAsas bergantung pada manfaat akhir yang ditetapkan, had perlindungan, pengecualian dan kadar premium.
“Premium yang berpatutan juga perlu memberikan perlindungan kewangan yang bermakna apabila pesakit memerlukan rawatan,” katanya sambil menambah bahawa program pencegahan seperti PeKa B40 perlu disokong dengan rawatan tepat pada masanya dan penjagaan susulan.
Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Shanmuganathan Ganeson menyambut baik peningkatan peruntukan itu sambil berkata langkah berkenaan pastinya dapat membantu lebih ramai pesakit yang memerlukan bantuan kewangan.
Beliau merujuk kepada penamatan lebih 340,000 polisi insurans perubatan dan takaful antara Januari 2024 hingga Jun 2025, berdasarkan Kertas Putih Pelan Asas Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan kerajaan, sebagai bukti kebimbangan mengenai kemampuan mendapatkan perlindungan yang semakin meningkat.
Shanmuganathan memberi amaran pengurangan perlindungan perubatan swasta boleh meningkatkan tekanan terhadap kemudahan penjagaan kesihatan awam yang sedia terbeban, sekali gus menjadikan pembiayaan tambahan itu sebagai langkah sementara yang berguna bagi pesakit berdepan perbelanjaan perubatan tidak dijangka dan berpotensi membebankan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya kebergantungan berlebihan terhadap skim bantuan individu dielakkan kerana skim sedemikian tidak semestinya menangani masalah asas seperti peningkatan kos penjagaan kesihatan, penggunaan sumber yang tidak cekap dan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang tidak bersepadu.
“Malaysia sudah mempunyai infrastruktur dan sumber penjagaan kesihatan yang banyak dalam sektor awam dan swasta.
“Apa yang diperlukan ialah integrasi yang lebih baik, penggunaan sumber yang lebih cekap serta rangka kerja pembiayaan penjagaan kesihatan yang lebih mengutamakan pencegahan, penjagaan kesihatan primer dan kesinambungan rawatan,” katanya.
Sebagai respons terhadap kebimbangan itu, kerajaan memperkenalkan strategi RESET pada Jun 2025, iaitu inisiatif jangka panjang yang bertujuan menangani punca utama inflasi perubatan menerusi pembaharuan pembiayaan penjagaan kesihatan, ketelusan harga yang lebih baik dan pilihan rawatan yang lebih menjimatkan kos.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.