Adun penyokong kerajaan mampu semak pentadbiran tanpa pembangkang, kata Fadillah

Wakil rakyat penyokong kerajaan yang berani menegur serta mekanisme audit mampu memastikan pentadbiran negeri terus dipantau walaupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi semua kerusi pada PRN akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
“Apa yang kita perlukan ialah wakil rakyat penyokong kerajaan yang benar-benar mampu memantau kerajaan serta memberikan pandangan dan teguran membina,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persepsi terhadap kerajaan negeri sekiranya kemenangan besar GPS menyebabkan DUN Sarawak tidak mempunyai wakil pembangkang.
Fadillah berkata wakil rakyat yang tidak menganggotai pentadbiran masih boleh mempersoalkan tindakan kerajaan, manakala audit menjadi satu lagi mekanisme untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban.
“Dalam kerajaan, kita mempunyai Jabatan Audit. Itu juga sebahagian daripada mekanisme semak dan imbang,” katanya.
Menurutnya, kewujudan pembangkang yang kuat bukan semestinya syarat utama bagi memastikan sesebuah kerajaan dapat ditadbir dengan berkesan.
“Adakah China mempunyai pembangkang? Mengapa China begitu kuat sekarang?” soalnya.
Fadillah berpandangan pembangkang mungkin lebih sibuk berpolitik daripada menjalankan peranan semak dan imbang secara membina, sedangkan wakil rakyat penyokong kerajaan yang berkesan mampu memastikan pentadbiran terus memberi tumpuan kepada pembangunan.
Sebelum DUN Sarawak dibubarkan baru-baru ini, GPS menguasai 79 daripada 82 kerusi, manakala satu lagi dipegang wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan. Keadaan itu menjadikan DAP satu-satunya parti pembangkang dengan dua wakil rakyat.
GPS merancang bertanding di semua 82 kerusi pada PRN 12 Dis ini, dengan penamaan calon ditetapkan 28 Nov.
Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen pula menjadikan keperluan memperkukuh pengawasan terhadap pentadbiran negeri antara hujah utama parti itu menjelang pilihan raya.
Beliau berpandangan lebih ramai wakil pembangkang diperlukan bagi memastikan kerajaan GPS dapat dipantau dengan lebih berkesan.
Mandat lebih kukuh teruskan agenda MA63
Fadillah turut menggesa rakyat Sarawak memberikan sokongan padu kepada GPS kerana beberapa perkara penting berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) belum diselesaikan walaupun terdapat kemajuan.
“Pertama sekali, perjuangan kita belum selesai,” katanya sambil menjelaskan kemenangan dengan majoriti besar akan memberi isyarat bahawa rakyat Sarawak berdiri teguh di belakang usaha GPS.
Dalam jawapan di Parlimen pada Oktober lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata 16 perkara di bawah kerangka pelaksanaan MA63 telah diselesaikan, manakala 13 lagi masih dalam perbincangan.
Ditanya mengenai cabaran mewakili Sarawak di peringkat persekutuan, Fadillah berkata perancangan yang terlalu tertumpu di peringkat pusat boleh menyebabkan keperluan tertentu negeri itu terlepas pandang.
Antaranya keadaan geografi Sarawak yang berbeza, cabaran logistik serta kos pembangunan lebih tinggi.
Sebagai contoh, beliau berkata kos menyambung bekalan elektrik ke sebuah rumah di kawasan bandar sekitar RM7,000 berbanding RM50,000 hingga RM75,000 bagi rumah di luar bandar disebabkan faktor jarak dan kesukaran akses.
Fadillah berkata tanggungjawabnya memerlukan beliau mengimbangi keutamaan negara dengan keperluan Sabah dan Sarawak, selain menjelaskan keadaan kedua-dua negeri itu kepada pihak yang membuat keputusan di peringkat persekutuan.
“Apabila kita merangka dasar, program atau projek, semuanya mesti bersesuaian dengan keadaan setempat dan memenuhi keperluan penduduk,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.