Peguam pertikai dakwaan Ismail dipaksa tandatangan dokumen

Seorang peguam mewakili individu didakwa undang Negeri Sembilan mempertikaikan dakwaan Menteri Besar Ismail Lasim dipaksa menandatangani dokumen proklamasi untuk menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Khairul Azam Abdul Aziz mendakwa kenyataan Ismail bahawa dokumen itu telah beliau tandatangani secara paksaan adalah satu pemikiran terkemudian (afterthought), lapor Harian Metro.
“Tiada keadaan yang berlaku pada malam itu yang mendorong ke arah elemen paksaan kepada menteri besar Negeri Sembilan untuk membuat keputusan,” katanya lapor Harian Metro.
Khairul berkata Ismail hadir ke tempat di mana dokumen itu ditandatangani bersama peguam, Abu Bakar Isa Ramat, dan diberi penerangan oleh individu-individu didakwa undang mengenai keputusan menurunkan Tuanku Muhriz.
Selasa lepas, beberapa individu termasuk Undang Luak Johol Muhammed Abdullah dalam sidang media mendakwa Ismail sudah menandatangani dokumen proklamasi untuk menurunkan Tuanku Muhriz.
Mereka mendakwa, Ismail menandatangani dan melengkapkan surat cara proklamasi di bawah Perkara 10(2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan yang bertarikh 3 Ogos.
Bagaimanapun, Ismail semalam mendakwa beliau dipaksa menandatangani dokumen proklamasi itu, dan satu laporan polis dibuat kelmarin.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.