Boleh berpihak musuh kurang bahaya ketika tak berkuasa, kata Hadi

Presiden PAS Hadi Awang berkata umat Islam dibenarkan berpihak sementara kepada pihak yang dianggap kurang berbahaya bagi menghadapi musuh lebih besar, ketika berada dalam keadaan lemah dan tidak berkuasa.
Beliau berkata pendekatan itu berlandaskan prinsip memilih mudarat lebih ringan antara dua kemudaratan, tanpa mengorbankan prinsip Islam yang wajib dipertahankan.
“Allah menerima sikap positif generasi awal dalam menghadapi situasi politik ketika belum berkuasa pada zamannya, dengan pendirian berpihak kepada musuh yang kurang bahayanya buat sementara waktu, supaya musuh yang lebih berbahaya dapat dikalahkan terlebih dahulu.
“Perkara ini bukanlah melarikan diri, tetapi memilih untuk mengalahkan musuh yang lebih besar bahayanya terlebih dahulu, walaupun kedua-duanya merupakan musuh Islam,” katanya dalam tulisan Minda Presiden PAS bertajuk Memahami Pilihan Raya Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, Hadi tidak mengaitkan secara khusus pendekatan itu dengan mana-mana parti politik tempatan atau kemungkinan kerjasama baharu, termasuk antara PAS dengan parti yang pernah menjadi seterunya.
Kenyataan itu hadir ketika Perikatan Nasional (PN), yang dipengerusikan naib presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Melaka.
Hadi dan beberapa pemimpin BN serta PN sebelum ini turut memberi bayangan kerjasama kedua-dua gabungan itu akan diteruskan pada PRU16.
Dalam tulisan sama, Ahli Parlimen Marang itu turut mengkritik demokrasi Barat yang disifatkannya terlalu mengutamakan wang, namun menggesa umat Islam memanfaatkan kebebasan dalam sistem itu untuk memperjuangkan hak beragama, keadilan dan hak asasi manusia.
“Apa yang penting, janganlah sekali-kali melampaui sempadan Allah yang meletakkan Islam di jalan yang tengah (al-wasatiyyah). Jangan pernah sekali-kali menyerah kalah dan bertindak secara melampau,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.