Ganti rugi Badan Peguam untuk Shafee dikurang kepada RM120,000

Mahkamah Rayuan membenarkan sebahagian rayuan Badan Peguam membawa pengurangan ganti rugi dianugerahkan kepada peguam Shafee Abdullah kepada RM120,000 berhubung pelanggaran kewajipan statutori badan profesional itu terhadapnya.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Choo Kah Sing turut menolak rayuan balas Shafee untuk menaikkan jumlah ganti rugi RM340,000 dianugerahkan oleh Mahkamah Tinggi tahun lalu, susulan penilaian pampasan yang perlu dibayar.
Turut bersidang dalam panel yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu ialah Hakim Evrol Mariette Peters dan Meor Hashimi Abdul Hamid.
Choo, yang menyampaikan ringkasan alasan penghakiman, berkata ganti rugi dan kuantum dituntut mestilah dibuktikan menerusi fakta, dan bukan sekadar andaian.
Panel itu turut mengambil maklum walaupun terdapat perkara tidak sah oleh Badan Peguam, ia tidak bermakna secara automatik tindakan tersebut dilakukan dengan niat jahat.
Panel hakim mengurangkan RM200,000 yang dianugerahkan Mahkamah Tinggi bagi kerugian reputasi dan kecederaan perasaan kepada RM100,000.
Namun, panel berkenaan mengekalkan ganti rugi teladan RM20,000 yang diperintahkan Mahkamah Tinggi.
Choo turut memerintahkan Badan Peguam dan Shafee untuk menanggung kos masing-masing.
Kes itu berpunca daripada satu siri ceramah pada Februari 2015, di mana Shafee menyentuh mengenai penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Liwat II Anwar Ibrahim, yang menyaksikan presiden PKR itu disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun.
Anwar kemudiannya menerima pengampunan penuh diraja atas dasar sabitan itu merupakan satu ketidakadilan yang nyata.
Tidak lama selepas siri ceramah terbabit, peguam Tommy Thomas dan VC George mengemukakan usul untuk dibahaskan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Badan Peguam.
Mereka mendakwa Shafee telah melanggar kaedah yang melarang peguam daripada meraih publisiti untuk diri sendiri dan menyeru Badan Peguam mengecam kelakuannya ‘dengan sekeras-kerasnya’. Mereka turut meminta Badan Peguam merujuk perkara berkenaan kepada Lembaga Tatatertib Peguam Bela dan Peguam Cara.
Saman Shafee pada permulaan ditolak Mahkamah Tinggi pada 2016, di mana keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan, pada 2018.
Bagaimanapun, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu dipengerusikan oleh Hakim Abdul Rahman Sebli membenarkan rayuan Shafee pada 2021, dan memerintahkan Mahkamah Tinggi mentaksir ganti rugi tersebut.
Mahkamah atasan berkenaan memutuskan Thomas dan George tersilap apabila membangkitkan kelakuan Shafee pada AGM, dengan berpegang bahawa Badan Peguam tidak mempunyai bidang kuasa membincangkan kelakuan peguam secara individu memandangkan perkara sedemikian terletak di bawah bidang kuasa lembaga tatatertib.
Thomas kemudiannya berkhidmat sebagai peguam negara bermula Jun 2018 hingga Februari 2020, manakala George bersara selepas berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, antara 1981 dan 1995.
Keduanya tidak dipertanggungjawabkan secara peribadi terhadap Shafee.ber
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.