Tak puas hati dengan PH bukan bererti sokong BN

Ketidakpuasan hati terhadap Pakatan Harapan (PH) tidak semestinya bermaksud pengundi lebih meyakini Barisan Nasional (BN), kata penganalisis, sambil menggesa parti-parti politik membuktikan perubahan melalui tindakan.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata pengundi sememangnya sedar akan jurang antara prinsip yang diperjuangkan sesebuah parti ketika menjadi pembangkang berbanding keputusan yang dibuat apabila ia memegang kuasa.

“Pengundi tidak semestinya menjadi penyokong Perikatan Nasional atau BN. Mereka mungkin sebaliknya sedang hilang keyakinan terhadap PH,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata pengundi menolak BN khususnya Umno kerana menginginkan reformasi, integriti dan keadilan, bukannya semata-mata kerana menggemari PH.
Penilaian ini menyusuli PRN Melaka, yang menyaksikan BN dan PN pimpinan PAS memenangi 25 kerusi dengan bertanding sebagai satu pakatan, manakala PH hanya memperoleh empat kerusi yang kesemuanya dimenangi DAP.
Zaharuddin berkata kekurangan jumlah kerusi PH di Dewan Rakyat menyukarkan pelaksanaan reformasi, namun mengusahakan perubahan dan kebertanggungjawaban tetap perkara penting.
PH dan sekutunya ketika itu, Muda, memenangi 82 kerusi pada PRU 2022, kurang daripada 112 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Kerajaan perpaduan akhirnya terbentuk dengan kerjasama BN dan gabungan lain.
Zaharuddin berkata kerjasama itu perlu bagi memastikan kestabilan politik, namun ia tidak menjawab kebimbangan dalam kalangan penyokong PH mengenai kerjasama dengan parti yang sekian lama dikritik atas isu integriti.
Beliau juga berkata pertimbangan politik tidak seharusnya mempengaruhi kes melibatkan pemimpin politik daripada pentadbiran terdahulu.
Zaharuddin menambah pengundi sukar menerima penjelasan yang pernah ditolak oleh parti-parti berkenaan ketika menjadi pembangkang, walaupun mereka mungkin memahami kekangan kewangan dan pentadbiran.
Perjuangan lalu tak lagi memikat pengundi muda
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata Umno tidak lagi boleh bergantung kepada peranannya dalam memperjuangkan kemerdekaan untuk memenangi hati pengundi muda.

“Sekadar beritahu pengundi muda bahawa Umno berjuang untuk kemerdekaan tidak lagi memberi kesan,” katanya.
Katanya, ramai pengundi muda tidak melalui zaman tersebut dan mereka menilai parti politik berdasarkan realiti semasa serta bagaimana dasar memberi kesan kepada kehidupan seharian.
Walaupun sebahagian pengundi muda terlibat secara aktif dalam parti politik, ramai tidak terikat dengan ideologi tertentu, dan membuat pilihan berpandukan keadaan sosial, ekonomi setempat dan prospek pekerjaan.
Azmi berkata agenda reformasi PH mesti menunjukkan manfaat yang nyata kepada pengundi.
“Golongan muda akan menilai apakah manfaat yang bakal mereka peroleh,” katanya.
Beliau berkata parti-parti politik perlu memahami perkara yang mendorong pengundi muda keluar mengundi dan faktor yang menentukan pilihan mereka di peti undi.
Zaharuddin berkata parti-parti politik seharusnya bersaing menawarkan masa depan ekonomi, termasuk prospek kerjaya yang lebih baik dan peluang keusahawanan yang lebih luas.
Perkara itu menuntut lebih daripada sekadar menonjolkan angka pelaburan, dan parti-parti perlu menjelaskan kualiti pekerjaan yang diwujudkan dan cara mereka membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
Beliau berkata PH, BN dan PN mesti dinilai berdasarkan piawaian kebertanggungjawaban yang sama, kerana reformasi mesti diukur melalui tindakan dan bukannya slogan atau wajah baharu.
“Jika mereka benar-benar berubah, buktikan melalui pentadbiran yang telus, institusi yang bebas, memerangi rasuah serta keberanian mengambil tindakan terhadap pemimpin sendiri,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.