PAS tak tanding PRN Sarawak

PAS memutuskan tidak meletakkan calon pada PRN Sarawak 12 Dis ini.
Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan politik semasa serta pelbagai pertimbangan lain.
“PAS akan terus memberikan komitmen terhadap usaha memperkukuh perpaduan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat selaras dasar serta prinsip perjuangan parti,” katanya dalam kenyataan.
PAS mula bertanding kerusi DUN Sarawak pada PRN 2001 dengan meletakkan tiga calon.
Bagaimanapun, parti Islam itu belum pernah memenangi sebarang kerusi di negeri berkenaan.
Pada PRN 2021, PAS bertanding di Beting Maro, kawasan majoriti Melayu-Melanau, namun kalah kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan majoriti 1,711 undi.
Calonnya memperoleh 2,058 undi, mengatasi PKR yang mendapat 765 undi dan Parti Bumi Kenyalang (74 undi).
Kali terakhir PAS tidak bertanding PRN Sarawak adalah pada 1996, ketika 62 kerusi dipertandingkan dan komponen GPS pada masa itu masih berada dalam Barisan Nasional.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.