Tiada rundingan ambil alih laluan AirAsia dengan kerajaan, kata Malaysia Airlines

Tiada perbincangan rasmi dengan kerajaan berhubung kemungkinan mengambil alih bahagian pasaran penerbangan domestik AirAsia atau laluan penerbangan serta pesawat syarikat itu, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Nasaruddin A Bakar.
Pada pertengahan September lalu, Reuters melaporkan kerajaan menghubungi Malaysia Airlines dan Batik Air untuk bertanya sama ada dua syarikat itu mampu mengambil alih bahagian pasaran domestik AirAsia yang berdepan masalah kewangan semakin meruncing dan diburukkan lagi kenaikan kos bahan api akibat perang di Iran.
“Kami tidak menerima sebarang permintaan rasmi atau mengadakan perbincangan mengenainya,” kata Nasaruddin di luar acara Perhimpunan Presiden Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik ke-70 di sini.
Tetapi, beliau berkata, sebagai syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines bertanggungjawab memastikan ketersambungan domestik dan antarabangsa.
Nasaruddin turut menerajui syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG).
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah, dipetik New Straits Times sebagai berkata, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan sedang berunding dengan AirAsia.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan dengan lanjut perkara yang dibincangkan dan menegaskan perbincangan masih di peringkat awal dan belum ada keputusan muktamad dibuat.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.