Gaji minimum tak perlu satu kadar untuk semua, kata ahli ekonomi

Kerajaan wajar mempertimbangkan kadar gaji minimum berbeza mengikut industri dan lokasi berbanding menetapkan satu kadar untuk semua pekerja, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata perkara utama ialah memastikan pelaksanaan mengambil kira perbezaan struktur gaji antara industri dan lokasi.
“Mungkin pendekatan gaji minimum yang berbeza mengikut industri dan lokasi boleh dipertimbangkan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan penasihat DAP yang juga bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng, kenaikan gaji minimum bakal diputuskan kerajaan tidak wajar membabitkan pekerja asing.
Lim berkata, langkah itu penting bagi melindungi kepentingan rakyat dan perniagaan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dengan alasan pekerja asing diambil berdasarkan kontrak dipersetujui majikan dan pekerja.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menolak cadangan mengecualikan pekerja asing daripada kenaikan gaji minimum, menyifatkannya sebagai diskriminasi.

Setiausaha MTUC Pulau Pinang, K Veeriah, berkata pekerja asing tidak wajar dilayan sebagai pekerja kelas kedua hanya bagi melindungi kepentingan majikan.
Katanya, Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan semua orang sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama.
“Usaha mendapatkan perlindungan untuk golongan majikan seolah-olah meminta pekerja terus terperangkap dalam ekosistem gaji rendah yang tidak berkesudahan semata-mata supaya majikan dapat menikmati manfaat untuk terus berada dalam perniagaan,” katanya.
Veeriah berkata, Mahkamah Persekutuan dalam kes Ahmad Zahri Mirza Abdul Hamid lawan AIMS Cyberjaya Sdn Bhd turut mengambil kira prinsip kesamarataan antara pekerja tempatan dan asing.
Katanya, Seksyen 69F Akta Kerja 1955 memberi kuasa kepada ketua pengarah tenaga kerja menyiasat dan memutuskan pertikaian berkaitan diskriminasi dalam pekerjaan.
“Sesiapa yang berfikiran rasional tidak akan mempertikaikan bahawa mereka yang melakukan pekerjaan yang sama hendaklah dibayar pada kadar yang sama.
“Hak untuk menerima upah yang sama bagi kerja yang sama tidak seharusnya dikompromi kerana ia akan merosakkan asas kesamarataan, keadilan serta layanan yang adil terhadap pekerja, sama ada pekerja asing atau rakyat Malaysia,” katanya.
Pada 27 Sept lalu, MTUC menggesa kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM3,100 dalam Belanjawan 2027, dengan alasan gaji pekerja masih belum seiring peningkatan produktiviti dan keuntungan syarikat.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.