Kuasa pengampunan bukan luar undang-undang, kata Azalina

Kuasa pengampunan bukan kuasa di luar undang-undang kerana ia diperuntukkan secara nyata oleh Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kata Azalina Othman Said.
Ketua penerangan Umno berkata, bagi kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan, Perkara 42 memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong serta menetapkan kerangka lembaga pengampunan.
Katanya, pelaksanaan kuasa itu tidak wajar digambarkan sebagai tindakan ‘mengatasi undang-undang’.
“Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara dan semua pihak tertakluk kepada peruntukannya,” kata Ahli Parlimen Pengerang dalam kenyataan.
Azalina yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) berkata, keputusan mahkamah dan proses pengampunan pula merupakan perkara berbeza.
Katanya, mahkamah menjalankan fungsi kehakiman dalam menentukan kesalahan dan hukuman, manakala Perkara 42 menyediakan mekanisme perlembagaan berhubung pengampunan, tunda hukuman atau lega hukuman.
Menurutnya, setiap institusi mesti bertindak dalam ruang kuasa diberikan oleh Perlembagaan iaitu peranan lembaga pengampunan, peguam negara dan menteri berkaitan hendaklah dilihat berdasarkan peruntukan Perkara 42 dan prosedur ditetapkan, bukan melalui tafsiran atau persepsi politik.
“Pendirian saya sebagai ketua penerangan Umno adalah jelas: hormati keputusan mahkamah. Hormati Perlembagaan. Hormati proses yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
“Sebarang persoalan mengenai kesahan, kesan undang-undang atau proses sesuatu tindakan hendaklah dinilai berdasarkan teks Perlembagaan, fakta dan proses yang sebenar, bukan sekadar kenyataan politik.
“Tiada siapa mengatasi undang-undang. Dan tiada siapa mengatasi Perlembagaan,” katanya.
Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan menegaskan tiada sesiapa pun yang mengatasi undang-undang, dan mana-mana individu disabitkan kesalahan mesti menjalani hukuman mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu menyusuli pengumuman Jabatan Perdana Menteri (JPM), bekas perdana menteri Najib Razak diberikan pengampunan bersyarat dan dibenarkan menjalani baki hukuman penjara enam tahun di kediamannya, dengan syarat membayar denda RM50 juta secara penuh.
Najib yang juga bekas presiden Umno akan dibenarkan menjalani baki hukumannya bagi kes SRC International di bawah tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Agong telah mengurniakan pengampunan bersyarat kepada Najib susulan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persektuan, yang turut dianggotai peguam negara, menteri Wilayah Persekutuan dan tiga ahli dilantik oleh Agong.
Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang selepas hukuman asalnya selama 12 tahun dikurangkan separuh pada Februari 2024. Denda asal sebanyak RM210 juta turut dikurangkan kepada RM50 juta.
Beliau mula dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya dalam kes itu.
Pada Disember 2025, Najib disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM2 bilion berkaitan 1MDB.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion, dan kini sedang merayu sabitan tersebut.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.