Suhakam tak setuju pelarian Myanmar dihantar pulang

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyeru kerajaan menghentikan sebarang usaha penghantaran pulang pelarian Myanmar seterusnya.
Suhakam berkata, perang saudara di Myanmar masih berterusan, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan keganasan masih berlarutan, selain situasi hak asasi manusia yang semakin memburuk.
Menurutnya, menjadi kelaziman dalam undang-undang antarabangsa bahawa pelarian tidak sepatutnya dihantar pulang ke negara asal mereka sekiranya berdepan risiko nyata penganiayaan, penyiksaan atau bahaya serius lain.
“Prinsip itu mengikat semua negara tanpa mengira sama ada mereka merupakan pihak kepada Konvensyen Pelarian atau tidak. Ini bermakna Malaysia, walaupun bukan pihak dalam Konvensyen Pelarian, terikat mematuhi prinsip tersebut.
“Justeru, Malaysia dilarang oleh undang-undang antarabangsa daripada menghantar pulang mana-mana pelarian atau pencari suaka ke Myanmar sekiranya terdapat risiko munasabah nyawa atau kebebasan mereka akan terancam disebabkan ras, agama, kewarganegaraan, keahlian dalam kumpulan sosial tertentu atau pegangan politik.
“Sebarang pelanggaran terhadap prinsip teras berkenaan merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan.
Malaysia memulakan fasa pertama program penghantaran pulang pada Selasa, melibatkan kira-kira 5,000 pelarian Myanmar dengan seramai 1,476 dihantar pulang menaiki tiga kapal kapal perang tentera laut negara itu.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, jumlah terbabit merangkumi 27 kanak-kanak, iaitu 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.
Malaysia bakal menghantar pulang 3,524 lagi warga Myanmar dalam fasa kedua program tersebut, dengan tarikh yang akan disahkan kemudian pihak Myanmar.
Kerajaan menegaskan bahawa pelarian terlibat telah membuat keputusan sukarela pulang ke negara asal.
Namun, Suhakam mempersoalkan perkara berkenaan dan mempersoal sama ada kepastian keputusan mereka dibuat selepas dimaklumkan mengenai keadaan sebenar di Myanmar serta tanpa sebarang tekanan atau paksaan.
Katanya, keputusan sukarela itu mesti ditentukan pihak berkuasa bebas seperti agensi pelarian PBB merujuk UNHCR dan bukannya imigresen.
“Suhakam menyeru kerajaan memastikan tiada lagi penghantaran pulang ke Myanmar dilakukan tanpa penilaian sewajarnya oleh pihak berkuasa bebas berhubung keperluan perlindungan serta risiko yang mungkin dihadapi setiap individu apabila kembali ke sana.
“Pihak berkepentingan dalam perlindungan antarabangsa yang berkaitan juga perlu diberikan akses bersesuaian bagi membantu mengenal pasti mereka yang memerlukan perlindungan.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.