The Jerusalem PostAt least 24 injured in Bnei Brak nursing home fire, two in serious, unstable conditionESPN DeportesEN VIVO: Cubs y Padres bajan el telón del segundo día de Series de ComodínESPNYankees sweep Red Sox with ALWC Game 2 routPunchFG builds new control centre to strengthen power gridSeeking AlphaMicron expects fiscal Q1 revenue of $61.5B ±$1.5B as it raises fiscal 2027 CapEx plans amid tighter 2027-2028 supply-demandInvesting.comمديرة مالية في Linkhome تتخلص من أسهم بقيمة 45,000 دولارInvesting.com¿Por qué sube hoy la acción de Kioxia?Investing.comPourquoi l’action Kioxia est-elle en hausse aujourd’hui ?ColliderKeanu Reeves’ Disastrous Sci-Fi Remake Officially Returns as a Streaming Hitynet ספורטייאלץ לפרוש מהנבחרת? העונש הכבד שעשוי לספוג רונאלדוThe Straits TimesNuclear fusion can create economic opportunity for Singapore: Tan See LengVanguardNIGERIA @ 66: Judiciary – Last or lost hope of common man?
The Daily Newsstand · Free, Always
Thursday, October 1, 2026

Kemelut atau kemulut, siapa pendana krisis di Negeri Sembilan?

Translate

faisal tehrani

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah secara agak mendadak dan tiba-tiba menzahirkan dukacita mendalam baginda terhadap budaya perbincangan dan perdebatan, yang menurutnya sudah menjauhi muafakat, tetapi mengarah kepada pertelagahan tanpa adab. Sudah tentu, Sultan Nazrin bertitah dan menegur gejala cita bencana ini dalam kalangan masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini.

Sultan Nazrin dilaporkan membuka titah tersebut ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang mana baginda adalah pengerusinya. Sultan Nazrin seterusnya dikatakan khuatir dengan gejala berita yang belum disahkan, tetapi disebarkan, penelanjangan aib selain perbezaan pandangan yang sepatutnya kecil kini bertukar menjadi permusuhan.

Titah Baginda: “Sangat mendukacitakan, malah bertambah mengaibkan, ketika ini kita menyaksikan perbincangan dan perdebatan, yang lebih berbentuk pertelagahan tanpa adab, sedang dan semakin berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini. Berita yang belum disahihkan, disebarkan tanpa menghiraukan dosa, aib dibuka dan perbezaan pandangan bertukar menjadi permusuhan. Amatlah penting bagi bangsa kita dan umat Islam, dididik membudayakan sikap mendengar sebelum menjawab, memahami sebelum menghukum dan meneliti sebelum menyebarkan sesuatu.”

Kebimbangan Sultan Nazrin itu ternyata mendalam kerana Baginda turut mengingatkan masyarakat supaya ‘tidak menjadi insan yang hanya mahu didengar tetapi tidak mahu mendengar, mudah menghukum tetapi enggan memahami atau berbicara mengenai perpaduan sedangkan kata-kata sendiri menyalakan perpecahan’.

Sebenarnya, fenomena cita bencana yang disebut-sebut oleh Sultan Nazrin itu boleh dikesani paling banyak tumbuh melalang di pelbagai platform media sosial. Masing-masing mengulas, mengomentar, menulis pandangan tanpa tapis, tanpa berfikir dan tidak mengingat dosa.

Dalam krisis yang menimpa Negeri Sembilan, kini telah berlarutan hampir enam bulan; fitnah mengenai tanah adat, waris-waris bertikai, dan aneka macam lagi, tampak menjadi-jadi. Media menggunakan istilah kemelut untuk menggambarkan konflik gila ini. Tetapi, sebenarnya tiada kemelut. Yang ada hanyalah ‘ke-mulut’. Atau, kemulut.

Mengapakah ia bukan kemelut? Tetapi kemulut? Apakah kemelut dan apakah kemulut? Dewan Bahasa dan Pustaka menghurai kemelut sebagai keadaan atau saat genting lagi berbahaya dan ia adalah berkenaan ekonomi, atau politik, di mana ia ditanggapi semacam satu kegen­tingan, krisis, atau dalam erti kata lain kebalikan kepada kestabilan dan keharmonian.

Kemulut adalah satu istilah ciptaan sendiri untuk memaparkan secara palsu satu-satu keadaan atau saat itu sebagai genting lagi berbahaya demi agenda atau objektif politik tertentu yang biasanya adalah untuk beroleh kuasa, keuntungan bisnes, projek, atau melepaskan diri dari satu-satu hukuman jenayah seperti contohnya rasuah, dan korupsi. Kemulut dinamai kemulut kerana mereka yang bekerja untuk memalsukan keadaan ini akan beroleh upah berbayar, wang habuan, gaji hadiah supaya kegentingan berterusan sehinggalah kelak padam sendiri lantaran basi atau dalam bahasa Inggeris, overtaken by events.

Gejala kemulut ini sangat berkait rapat dengan gerakan politik lasykar siber satu terma atau istilah digunakan untuk menjelaskan perihal aktivis parti politik yang diupah untuk membenih, menyebar dan menggandakan kesan propaganda politik di media. Kepesatan media sosial menjadikan mereka ini dikesani dengan mudah di Facebook, TikTok atau X. Fenomena kemulut lasykar siber ini mula dikesani dengan ketara ketika kempen PRU-12 dan meledak menjelang pilihan raya ke-14, dan ke-15. Ia semakin menjadi-jadi sekarang memandangkan suhu politik di negara kita kian menaik ekoran siri pilihan raya di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka tidak lama lagi.

Gerakan lasykar siber tidak sama dengan kekecohan para warganet atau jaguh siber. Kedua-dua gelar ini, warganet dan juara siber biasanya adalah organik dan merupakan reaksi spontan tanpa terstruktur. Namun, keberadaan warganet dan jaguh siber ini sangat rapat dengan lasykar siber. Sebagai satu bandingan, lasykar siber menanam benih atau naratif politik tertentu, dan mereka itu berbayar, dan apabila sesuatu isu menjadi genting dan kemelut, warganet dan jaguh siber yang terdiri dari pengguna media sosial orang awam akan memberi reaksi segera atau spontan. Warganet dan jaguh siber ini tidak dibayar, dan kadangkala memberi respons biadab, antiadab, menyala-nyalakan pergaduhan dan seperti digambarkan oleh baginda Sultan Perak sebagai degil dan hanya mahu didengar tetapi enggan mendengar, cepat melompat menghukum seraya sengaja menolak untuk memahami sesuatu isu itu. Kebiasaannya tukang bakar iaitu lasykar siber ini akan terus mengapi-apikan keadaan dengan menjadikan nafsu ketaasuban sebagai kayu bakar.

Warganet dan jaguh siber yang tidak tahu dalang di sebalik kemulut itu akan terus menari mengikut rentak mereka.

Fenomena kemulut ini dalam ilmu sains politik adalah apa yang dinamakan sebagai political astroturfing. Para kemulut ini tahu bila perlu bertindak, dan mempunyai mekanisme tindak balas yang teratur untuk mengurang atau menggandakan impak kegiatan mereka. Rauchfleisch Kovic, dalam penerbitan ilmiah bertajuk ‘Digital astroturfing in politics: Definition, typology and countermeasures’ pada 2018 dan terbit di jurnal bernama Studies in Communication Sciences, menyatakan political astroturfing ini ialah satu kaedah atau gerakan, kempen atau aktiviti politik dalam talian yang ditonjolkan sebagai sekadar aktiviti individu biasa atau orang awam, tetapi sebenarnya mereka adalah aktor politik berbayar (justeru kemulut) dan terdapat tuan atau majikan politik yang menggunakan khidmat mereka untuk terus-terusan menggerakkan aktiviti sebegini.

Political astroturfing, bukan gerakan atau sentimen akar umbi yang tulen tetapi ia ditampil sedemikian. Dalam banyak keadaan ia adalah kegiatan terancang dan diatur secara terpusat dari atas ke bawah. Political astroturfing juga adalah siri kempen maklumat palsu yang telah diprogramkan secara berpusat menerusi penyamaran identiti. Ia berlaku dengan pesat dalam talian dengan agenda mewujudkan satu bentuk penyelewengan maklumat bertujuan untuk mencipta tanggapan palsu bahawa sikap atau pandangan yang dilontar mereka itu mendapat sokongan meluas dalam masyarakat.

Kesimpulannya, political astroturfing adalah taktik aktor politik untuk mengelirukan masyarakat dengan informasi palsu, dengan menggunakan identiti atau profil palsu dengan maksud untuk memperdayakan masyarakat.

Astroturfing ini sudah tentu tidak mementingkan adab. Ia mementingkan mulut, dan perut; wang atau habuan, upah atau janji majikannya; di mana selalu bos mereka adalah parti atau tokoh politik. Justeru astroturfing ini berkait rapat dengan lasykar siber, yang bekerja mencipta kemelut untuk beroleh sesuatu ke mulut mereka. Warganet dan jaguh siber pula adalah mereka yang ditenggek.

Astroturfing, bukanlah political bots yang mana ia merujuk secara ringkasnya perkongsian konten media sosial dengan masyarakat secara khusus mengenai isu politik. Political bots ini tidak semestinya berniat jahat dan berkongsi maklumat palsu. Terdapat dalam kalangan mereka memang menumpukan masa terluang untuk berkongsi maklumat politik yang sahih, benar dan relevan, dan selalunya mereka tiada kesetiaan kepada sesuatu isu atau bos tertentu. Mereka secara jujur menggunakan medium media sosial sebagai suara politik mereka. Kejujuran mereka dapat dikenal pasti memandangkan kelompok ini tidak menggunakan akaun palsu, sebaliknya mempunyai akaun atau profil yang sah.

Ada kemungkinan besar kemelut di Negeri Sembilan misalnya digerakkan oleh kemulut sesetengah pihak yang berkepentingan. Mungkin, kemulut yang bertanggungjawab menciptakan kemelut di Negeri Sembilan itu beroleh kelulut lazat. Mungkin, tumpuan awal mereka adalah untuk mencipta ketidakstabilan politik di negeri tersebut dengan maksud untuk berlaku pilihan raya awal. Tujuan pilihan raya awal ini katakan, adalah untuk membolot kekayaan dan hasil mahsul negeri khusus dalam bentuk nadir bumi. Mudah-mudah orang awam, atau warganet biasa yang jahil pun terpedaya dan tertipu oleh kemulut ini.

Kemulut terus-terusan membakar dan memanjangkan kemelut yang kadang turun, dan tiba-tiba mencanak naik. Seperti yang telah dijelaskan dalam kerangka political astroturfing, untuk memadamkan kemelut ini, kita mestilah menyergap kemulut dan melacak siapa dalang di belakang mereka. Kemulut, sesuai dengan istilahnya selalu dibayar lumayan. Tidak susah mana pun untuk memastikan punca wang mereka itu. Jika dijejak kita tahu jembalangnya.

Apabila kemulut ini dikenal pasti, dan dipatahkan gerakan mereka, negeri atau negara akan aman semula. Dan Insya-Allah, seperti diharapkan oleh baginda Sultan Nazrin itu, adab akan kembali.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.