SPRM arah Azeez, ahli keluarga isytihar harta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan notis kepada bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Abdul Azeez Abdul Rahim dan ahli keluarganya termasuk anak-anak untuk mengisytiharkan harta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abdul Halim Aman, berkata notis itu disampaikan kepada Azeez dan ahli keluarga terdekatnya mengikut peruntukan undang-undang.
“Pihak kami telah menyerahkan notis kepada Azeez dan ahli keluarganya untuk beliau mengisytiharkan hartanya seperti yang termaktub di bawah undang-undang.
“Di bawah akta itu tempohnya sebulan. Kalau contohnya masa dan tempoh sebulan itu tidak mencukupi, pihak kami akan memberikan lanjutan tertakluk kepada keadaan,” katanya dalam sidang media program menembak bersama media 2026 di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang, menurut Kosmo.
Pada 9 Sept lalu, Azeez mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan jawatan pengerusi Putrajaya Perdana Berhad serta meyakinkan ahli Lembaga TH meluluskan cadangan pelaburan RM193.5 juta dalam syarikat itu.
Sebelum itu, Azeez turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan pemberian hibah TH mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sebelum dibebaskan selepas permohonan polis untuk melanjutkan remannya ditolak mahkamah.
Pendakwaan itu adalah sebahagian tindakan susulan pihak berkuasa terhadap penemuan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan serta operasi TH
Sementara itu, Halim berkata setakat semalam seramai enam individu didakwa berhubung lapan isu atau kes disiasat susulan laporan RCI TH.
Bagaimanapun, katanya, siasatan SPRM belum berakhir apabila terdapat lima lagi masih berlangsung dan belum dimuktamadkan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.