Nyahklasifikasi minit Lembaga Pengampunan untuk afidavit balas AGC, kata Saifuddin

Dokumen minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membincangkan pemberian tahanan rumah kepada bekas perdana menteri, Najib Razak telah dinyahklasifikasikan bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menyediakan afidavit balas berhubung permohonan semakan kehakiman difailkan Majlis Peguam.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata kandungan minit mesyuarat itu perlu dimasukkan dalam afidavit balas kerajaan bagi menjawab permohonan semakan kehakiman berkaitan isu tahanan rumah Najib.
“Jadi, tentunya dokumen itu perlu dinyahklasifikasikan dahulu bagi membolehkan peguam negara membuat afidavit balas.
“Afidavit hanya akan lengkap jika perkara yang berlaku dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan itu dimasukkan dalam kandungannya,” katanya pada program Polis Fun Run 2026 di sini.
Pada 19 Nov lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata dokumen asal Lembaga Pengampunan sememangnya dikategorikan rahsia, namun proses penyahklasifikasian bukan sesuatu yang luar biasa jika dokumen itu dicabar melalui proses mahkamah.
Beliau berkata, kebiasaannya, permohonan atau cabaran melalui mahkamah terhadap dokumen itu boleh membawa kepada proses penyahklasifikasian, manakala tarikh pelaksanaannya ditentukan kemudian.
Pada 10 Nov lalu, AGC memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mengkaji semula perintah pelepasan membabitkan Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Pada 11 Nov lalu, Badan Peguam memfailkan tindakan undang-undang baharu bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International menerusi tahanan rumah.
Mahkamah Tinggi di sini pada 10 Nov lalu memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini, berkuat kuasa serta-merta.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.