PAS mahu jadi penentu siapa wakil suara Melayu-Islam

PAS dilihat cuba meletakkan dirinya sebagai penentu pihak yang layak membawa suara Melayu-Islam, termasuk dengan mempersoalkan kelompok menyokong DAP, kata penganalisis.

Syaza Shukri berkata, sejak sekian lama PAS berusaha menentukan pihak yang layak menyertai agenda penyatuan ummah.
“Daripada ‘ummah’ itu bermaksud semua parti Islam, PAS bertindak sebagai penentu parti yang layak dan tidak layak,” kata penganalisis politik daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada FMT.
Beliau berkata, pendekatan sama dapat dilihat menerusi isu sokongan orang Melayu kepada DAP yang seolah-olah digambarkan sebagai tidak lengkap dari sudut Islam.
Bagaimanapun, katanya golongan Melayu progresif tidak akan pupus walaupun berdepan cabaran besar kerana masih aktif dalam masyarakat.
Syaza turut menyifatkan keyakinan PAS ketika ini dipengaruhi kekuatan naratif penyatuan ummah, namun parti itu mungkin mengubah pendekatan jika kedudukan politik berubah.
“Kalau PAS dan Umno berpecah, saya rasa tidak hairan kalau PAS berpatah balik dan terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak. Sebagai contoh, dahulu MCA musuh, sekarang rakan,” katanya.
Sebelum ini, Hadi Awang menerusi tulisan ‘Minda Presiden PAS’ mendakwa, kumpulan yang menjadi jurucakap dan pembela DAP akan dipinggirkan parti itu jika gagal menarik sokongan pengundi Melayu-Islam.
Beliau turut menegaskan, PAS menolak kerjasama dengan pihak secara terbuka memusuhi Islam, tetapi membenarkan kerjasama dengan bukan Islam yang tidak ekstrem dan tidak memusuhi agama itu.

Sementara itu, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata kenyataan Hadi perlu dilihat sebagai sebahagian strategi parti berkenaan membentuk persepsi politik dan mencabar keupayaan pihak lain meraih sokongan pengundi Melayu.
Katanya, PAS mempunyai kekuatan menerusi jaringan akar umbi, institusi pendidikan agama dan hubungan sosial yang dibina sejak sekian lama.
“Bagaimanapun, kekuatan ideologi tidak semestinya bermakna parti itu menguasai keseluruhan sokongan pengundi Melayu,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat Melayu bukan kelompok politik yang homogen kerana pilihan mereka turut dipengaruhi faktor ekonomi, kepimpinan, pembangunan dan keberkesanan pentadbiran.
“PAS boleh berusaha membentuk kerangka politik Melayu-Islam, tetapi tidak mempunyai monopoli terhadap pentafsiran kepentingan Melayu mahupun Islam,” katanya.
Awang Azman berkata, Umno pula mempunyai tradisi nasionalisme Melayu dan pengalaman pentadbiran, manakala parti lain menawarkan pendekatan tersendiri dalam pembangunan, keadilan sosial dan hubungan antara kaum.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.