Tok Mat ‘bertikam lidah’, tak boleh masuk pusat penamaan

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan dilapor dihalang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memasuki pusat penamaan calon DUN Lendu, Alor Gajah, kerana sudah melebihi kuota individu.
Menurut Utusan Malaysia, Mohamad yang juga timbalan presiden Umno berhasrat mengiringi calon Barisan Nasional (BN) Abu Hakim Abdul Wahid untuk proses penamaan calon PRN Melaka.
Namun, petugas SPR menghalangnya memasuki pusat penamaan itu membawa pertikaman lidah antara mereka.
Memetik saksi yang enggan dikenali, berkata Mohamad mempersoalkan tindakan itu memandangkan beliau mempunyai pas SPR.
“Tok Mat (Mohamad) mempersoalkan kenapa beliau tidak dibenarkan masuk sedangkan beliau mempunyai pas SPR.
“Beliau turut bertanya, apa gunanya pas tersebut jika beliau tetap tidak dibenarkan memasuki pusat penamaan calon,” katanya.
Menurut saksi itu, pegawai tersebut kemudian menjelaskan kehadiran Mohamad dianggap melebihi kuota individu dibenarkan memasuki pusat itu bersama calon.
Mengikut ketetapan proses penamaan calon, selain calon, hanya pencadang dan penyokong dibenarkan masuk ke dalam pusat berkenaan.
Situasi mula reda apabila Mohamad mengambil keputusan untuk meninggalkan lokasi berkenaan.
Proses penamaan calon bagi DUN Lendu diteruskan seperti biasa apabila Abu Hakim akan berdepan satu lawan satu menentang calon Bersatu, Nazri Ramli.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.