Umno tunjuk berani


Rosmah Mansor diberi tepukan oleh para perwakilan apabila dia hadir di upacara perasmian Perhimpunan Agung Umno 2026 semalam — tanda betapa sayangnya Umno terhadap suaminya, Najib Razak, bekas presiden parti.
Presiden Umno Zahid Hamidi setelah meminta Rosmah bangun daripada tempat duduk supaya boleh dilihat hadirin, memberitahu perwakilan “harap ada berita gembira”, merujuk Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang diadakan semalam. Kata-kata itu disambut tepukan lebih gemuruh.
Umum tahu ‘berita gembira’ yang Zahid sebut itu berkaitan permohonan pengampunan Najib. Bagaimanapun Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri kemudian memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan permohonan Najib ditangguhkan ke mesyuarat akan datang.
Agong adalah pengerusi Lembaga Pengampunan. Pada mesyuarat semalam, Sultan Ibrahim berkenan membebaskan 65 banduan.
Tidaklah saya pasti bila Umno mendapat khabar mengenai penangguhan permohonan Najib — sama ada sebelum atau sesudah perhimpunan Umno ditangguh untuk solat Jumaat. Yang pasti Umno tidak suka mendapat khabar itu meskipun akur keputusan Agong.
Saya ulangi apa yang sering saya kata menerusi beberapa penulisan terdahulu yakni selagi Umno masih mempertahankan Najib dan menuntut apa yang mereka sifatkan sebagai ‘keadilan’ buat bekas presidennya itu, selagi itulah majoriti rakyat akan menjauhi Umno. Ini kerana majoriti rakyat berpuas hati bahawa Najib sudah diberi peluang secukupnya melalui setiap lapisan proses pengadilan negara lantas sudah menerima keadilan.
Tentunya, Umno tidak setuju dengan pendapat itu sebaliknya yakin akan menang PRU mendatang. Dalam ucapan dasar presiden sempena PAU 2026, Zahid menzahirkan keyakinan Umno akan dapat mandat untuk membentuk kerajaan menerusi ‘Gelombang Biru’. Tidak pula diyatakan dengan jelas sama ada ‘biru’ yang dimaksudkan itu biru Barisan Nasional yang diterajui Umno atau biru Perikatan Nasional yang diterajui PAS.
Seperti kita tahu PAS pada muktamarnya minggu lalu sudah membuat ketetapan. Ringkasnya begini: “kerusi kami, kami mahu kekalkan, tiada toleransi, negeri kami iaitu SG4 kami mahu kekalkan, negeri lain kami mahu tambah kerusi dan jawatan perdana menteri mesti daripada kami.”
Adakah Zahid bersetuju? Saya rasa artikel ini boleh dilihat lanjutan artikel saya yang disiarkan FMT tujuh hari lalu. Dalam ucapan semalam, Zahid merujuk kepada pihak tertentu dengan ungkapan ‘cukup-cukuplah’ dan ‘bagi peluang kepada kami pula’. Tidak perlu jadi pakar politik untuk tahu siapa yang beliau rujuk.
Zahid juga menggesa “cukup-cukuplah guru, dengarlah suara kami dengarlah suara rakyat, wahai guru, cukup-cukuplah, Insya-Allah kami boleh buat lebih baik daripada yang guru buat”. Sebelum ini Zahid pernah menyifatkan Anwar Ibrahim sebagai gurunya.
Saya terima bahawa apa yang disuarakan Zahid adalah pendapat Umno. Tetapi apabila beliau bercakap mengenai ‘suara rakyat’, minda tertanya-tanya sejak bila beliau atau partinya bercakap bagi pihak rakyat?
Pun begitu keyakinan Zahid bahawa partinya boleh menubuhkan kerajaan didorong oleh kejayaan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan tetapi dengan kerjasama PAS. Namun di Negeri Sembilan keadaan kerajaan pimpinan Umno masih tidak stabil berikutan krisis adat. Setakat ini Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, anak jati Nismilan belum memberi ulasan. Ini kita cerita di lain hari.
Bagaimanapun, Mohamad semasa merasmikan persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Rabu lalu berkata Umno tidak boleh bergantung kepada PH atau PN. Adakah beliau maksudkan Umno will go solo pada pilihan raya mendatang? Tidak pula dihuraikan.
Beliau berkata penyatuan Melayu boleh berlaku bila-bila masa tetapi mesti berasaskan ‘Rumah Bangsa’ anjuran atau yang dipelopori Umno. Lantas saya petik laporan FMT semalam, iaitu penganalisis menegaskan Umno tidak berada dalam situasi untuk buat tuntutan seperti itu.
Bercakap mengenai Umno belum cukup kuat tetapi berlagak sebaliknya saya tertarik kepada satu lagi laporan FMT juga yang disiarkan semalam, bertajuk Zahid masih aset Umno, namun banyak isu ‘tertunggak’. Menurut penganalisis, Sivamurugan Pandian, isu yang mencemarkan Umno termasuk kontroversi perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang menterinya ialah Zahid, skandal Tabung Haji dan Felda dan juga krisis berpanjangan di Negeri Sembilan.
Di samping itu dikatakan isu politik lalu Zahid semakin meningkat. Tidak kurang juga pemerhati dan penganalisis berpendapat Zahid adalah liabiliti buat Umno.
Bagaimanapun bagi Khairy Jamaluddin, yang baru diterima semula oleh Umno setelah dipecat tidak lama dahulu, menyifatkan ucapan Zahid semalam sebagai amanat ‘prime minister-in-waiting’.
Zahid sejak kebelakangan ini mendesak Anwar mengadakan PRU16 segera. Dalam ucapan dasar presiden semalam, beliau ulangi desakan itu. Kita tahu ini konon untuk keep up the momentum setelah menang di Johor dan Negeri Sembilan. Imbau kembali tahun 2022 apabila Umno desak Ismail Sabri Yaakob, naib presiden Umno yang jadi perdana menteri waktu itu, segera adakan PRU15.
Zahid sering dipetik media membuat tuntutan itu. Sekadar satu contoh saya ambil laporan Astro Awani siaran 27 Ogos 2022 yang memetik Zahid berkata “Bila lagi? Kita konsisten dan istiqamah menuntut (PRU15) kerana kita menghormati mandat rakyat”. Sejak dulu beliau gemar mendakwa bercakap bagi pihak rakyat.
Ramai ketua bahagian Umno turut ikut langkah Zahid menuntut PRU15 diadakan pada kadar paling segera. Ini saya petik laporan FMT. Desakan dan tuntutan ini kerana Umno was on a high, dan cukup yakin akan menang pilihan raya. Ismail akhirnya tunduk, diadakan PRU15 pada 15 November 2022.
Apa jadi kepada Umno? Mustahil Zahid tak ingat tapi kalau lupa tanya Ismail.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.