Cabaran Syed Saddiq berkait peruntukan kawasan tangguh untuk rundingan penyelesaian

Cabaran undang-undang Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap keputusan kerajaan membatalkan peruntukan kawasan daripada wakil rakyat ditangguhkan bagi membolehkan pihak-pihak terlibat meneroka penyelesaian secara baik.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan bahawa beliau menerima arahan daripada Peguam Negara Dusuki Mokhtar supaya prosiding ditangguhkan sementara usaha menyelesaikan pertikaian itu di luar mahkamah dijalankan.
“Pihak-pihak memerlukan masa untuk mengusahakan mekanisme penyelesaian,” katanya.
Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi, yang mempengerusikan panel itu, menetapkan 7 Dis bagi pihak-pihak terlibat memaklumkan perkembangan cadangan penyelesaian kepada mahkamah.
Panel itu turut dianggotai Hakim Nazlan Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah.
Peguam Lim Wei Jiet, yang mewakili Syed Saddiq, berkata anak guamnya bersetuju dengan cadangan itu.
Pada 10 Mac, Mahkamah Persekutuan memberikan Syed Saddiq kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan penolakan permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung peruntukan kawasan.
Rayuan itu membangkitkan tiga persoalan undang-undang, termasuk sama ada memberhentikan atau membatalkan peruntukan kawasan oleh kerajaan boleh tertakluk kepada semakan kehakiman dan sama ada tindakan sedemikian melanggar jaminan kesamarataan di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah tertinggi itu juga akan memutuskan sama ada cabaran berkenaan difailkan selepas tamat tempoh had tiga bulan yang terpakai bagi prosiding semakan kehakiman.
Pada 27 Okt 2025, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Syed Saddiq untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Hashim Hamzah, yang kini merupakan Hakim Besar Malaya, sebulat suara memutuskan bahawa permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Syed Saddiq dan tiga yang lain pada 23 April 2024 di luar tempoh masa ditetapkan iaitu pada 10 Dis 2023.
Pada 24 Dis 2024, Hakim Besar Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang ketika itu merupakan hakim Mahkamah Tinggi, memutuskan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu memandangkan permohonan difailkan di luar tempoh masa.
Syed Saddiq dan tiga pengundi Muar – Najib Abu Nawar, Bakirudin Abdullah, dan Fadzly Bisri – memfailkan semakan kehakiman pada 23 April 2024, dengan menamakan perdana menteri dan kerajaan sebagai responden.
Mereka memohon perintah membatalkan keputusan memberhentikan atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta, yang sepatutnya disalurkan terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bantuan bencana di Parlimen Muar.
Mereka turut menuntut akses Syed Saddiq kepada sistem myKHAS, yang menguruskan dana pembangunan RM2 juta untuk kawasan Parlimen dikembalikan, selain pembatalan beberapa projek yang diluluskan bernilai RM230,300.
Mereka juga mencabar tindakan responden enggan meluluskan sebarang peruntukan kepada Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen Muar bagi program di bawah inisiatif ‘Projek Mesra Rakyat’ atau program seumpamanya bagi 2024.
Joshua Wu dan Nevyn Vinosh Venudran turut hadir mewakili Syed Saddiq, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan serta Peguam Persekutuan Ng Wee Li dan Ahmad Ilham Haridz Padli mewakili responden.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.