Fahmi kecam tindakan buli, ugut mahasiswa UM kerana suara pandangan

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengecam tindakan membuli dan mengugut seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang menyuarakan pandangan pada satu forum bersama pemimpin Umno baru-baru ini, sambil menggesa semua mangsa buli siber membuat laporan segera kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Fahmi berkata, tindakan mengherdik dan mengugut Ummi Umairah Bakhit termasuk ancaman untuk mencarinya di universiti tidak mencerminkan adab dalam berkomunikasi serta tidak sepatutnya berlaku hanya kerana perbezaan pandangan.
Terdahulu, dalam forum terbuka baru-baru ini, Ummi Umairah mempersoalkan tindakan orang ramai menderma bagi membantu bekas perdana menteri Najib Razak membayar denda mahkamah berjumlah RM50 juta.
Pandangan itu kemudiannya mengundang kecaman di media sosial, termasuk komen berbaur ugutan terhadapnya.
Fahmi berkata, perbezaan pandangan bukan suatu masalah, malah tindakan Ummi Umairah menyuarakan pandangan pada forum itu menunjukkan bahawa mahasiswa masa kini mempunyai hak untuk bersuara.
“Maka, kita perlu raikan kerana ia tidak melanggar apa-apa undang-undang, malah tidak bersifat jenayah. Beliau hanya menegur perkara berkaitan jenayah rasuah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Smart Parents Interactive Hub di Kuala Lumpur hari ini, lapor Bernama.
Fahmi menegaskan, walaupun terdapat pihak yang mungkin tidak bersetuju dengan nada atau cara mahasiswa itu menyampaikan pandangannya, perkara yang lebih penting ialah intipati yang diketengahkan.
Pandangan itu, katanya, mencerminkan hasrat melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang menyokong usaha membanteras kleptokrasi, selain menolak perbuatan menyamun, merompak dan rasuah.
Sehubungan dengan itu, Fahmi menggesa semua mangsa buli siber supaya segera membuat laporan kepada polis dan SKMM bagi membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti pelaku serta mengambil tindakan mengikut undang-undang.
Beliau berkata, SKMM akan menyemak tindakan yang boleh diambil berhubung kes berkenaan, selain menegaskan bahawa suruhanjaya itu akan bertindak secara proaktif dan tidak hanya menunggu laporan dibuat.
Dalam pada itu, Fahmi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mengingatkan rakyat supaya menjaga adab ketika berkomunikasi melalui media sosial.
Beliau berkata, pengguna tidak seharusnya menganggap hantaran dalam talian tidak membawa sebarang implikasi, termasuk apabila akaun yang digunakan dipercayai akaun palsu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.