GPS takkan layan permainan laskar siber pro-BN, kata penganalisis

Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan melayan cubaan laskar siber pro-Barisan Nasional (BN) yang mahu menggambarkan hubungan politik rapat antara kedua-dua gabungan itu, kata penganalisis.

Felo Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, berkata kepimpinan GPS sedar permainan persepsi yang cuba dibentuk pihak tertentu, khususnya menjelang PRN Melaka, PRN Sarawak dan PRU16.
Beliau berkata, GPS tidak mempunyai keperluan untuk menjalin kerjasama dengan BN, sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan, sebaliknya perlu mengekalkan kedudukan berkecuali bagi mengelakkan salah tanggapan terhadap hubungannya dengan parti lain.
“Saya percaya kepimpinan GPS sedar dan tahu apa yang mereka lakukan serta memahami permainan yang cuba dimainkan oleh laskar-laskar siber yang cuba memberikan gambaran sedemikian kepada rakyat,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, beberapa akaun media sosial pro-BN menyiarkan gambar Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof bersama Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh, sambil mengaitkannya dengan keputusan GPS bertanding solo pada PRN Sarawak tanpa kerjasama Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air menjelaskan kehadirannya di Melaka adalah atas urusan rasmi kementerian bagi merasmikan Persidangan Penjanaan Kuasa Turbin Gas CGNEI 2026 di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Abdul Karim Rahman, Hamzah sebelum ini menegaskan GPS akan bertanding bersendirian pada PRN Sarawak tanpa kerjasama pilihan raya dengan mana-mana parti dari Semenanjung, meskipun kekal bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Jeniri berkata, kedudukan GPS sebagai gabungan tempatan yang bebas membuat keputusan sendiri penting, terutama menjelang PRU16 apabila blok Sabah dan Sarawak dijangka memainkan peranan besar dalam menentukan pembentukan kerajaan Persekutuan.
Beliau turut mengingatkan kestabilan Kerajaan Perpaduan perlu dikekalkan sehingga tamat penggal bagi memastikan agenda pembangunan kerajaan serta tuntutan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dilaksanakan.

Sementara itu, Felo Akademi Sains Malaysia Jayum Jawan berpandangan hubungan GPS dengan gabungan politik di Semenanjung sebenarnya banyak bergantung kepada pihak yang berkuasa di Putrajaya.
Katanya, sejarah menunjukkan PBB dan gabungan pimpinannya tidak terikat secara kekal dengan mana-mana parti apabila BN tewas pada PRU14 pada 2018, sebelum parti itu keluar daripada BN dan membentuk GPS.
“Pemikiran PBB dan gabungan yang diketuainya berpandangan bahawa tiada kawan yang kekal. Yang kekal ialah pihak yang berkuasa kerana tiada faedah menyokong kumpulan yang kalah,” katanya.
Menurut Jayum, jika BN dan Umno kembali berkuasa selepas PRU16, GPS berkemungkinan meninggalkan PH dan kembali menjalin kerjasama dengan gabungan itu, manakala kedudukan sebaliknya akan berlaku jika PH terus memerintah.
Bagaimanapun, beliau berkata usaha BN menggambarkan pengaruhnya di Sarawak tidak semestinya memberi kesan besar kepada pengundi, memandangkan parti itu tidak mempunyai cawangan, ahli dan jentera akar umbi di negeri berkenaan.
Jayum berkata, permainan media sosial lebih mudah sampai kepada pengundi bandar, sedangkan sebahagian besar pengundi Sarawak tinggal di kawasan luar bandar dan separa bandar yang lebih mengutamakan isu kehidupan harian.
“Isu nasional kurang berkesan. Isu periuk nasi, jalan raya, air paip dan elektrik lebih utama,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.