Kuil jadi stor simpan heroin 20.6kg

Heroin seberat 20.6kg antara dadah dirampas di sebuah kuil tidak berdaftar di Klang dalam operasi berlangsung seminggu bermula 13 Okt lalu.
Menurut Kosmo, serbuan termasuk rampasan berjaya menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar, berkata sebanyak 46 bungkusan plastik mengandungi heroin 20.6kg ditemukan dalam stor kuil tersebut.
Katranya, semakan mendapati tapak tanah itu merupakan milik kerajaan yang diperuntukkan bagi tujuan pembentungan.
“Siasatan masih dijalankan, namun kami tidak menolak kemungkinan kuil tidak berdaftar itu dijadikan samaran bagi kegiatan sindiket pengedaran dadah.
“Premis itu dipercayai digunakan sebagai stor penyimpanan dadah sejak awal tahun ini,” katanya menurut laporan itu di IPK Selangor, Shah Alam.
Seorang lelaki yang bekerja sambilan di kuil berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur gangsterisme di lokasi itu. Bagaimanapun, setakat ini, kes berkenaan membabitkan sindiket pengedaran dadah,” katanya.
Sementara itu, Shazeli berkata, empat serbuan lain dibuat masing-masing dua di Rawang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Keseluruhannya, rampasan dadah adalah sebanyak 219.7kg dadah dengan turut melibatkan bunga ganja, ganja, ketamin, dan ekstasi yang bernilai RM16.2 juta.
“Hasil lima serbuan itu berjaya menangkap lapan suspek termasuk empat warga asing yang merupakan keldai dadah dari Eropah dan Asia Timur. Dadah dibawa keldai itu dikesan ketika transit di negara ini.”
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.