P Pinang mungkin bayar lebih RM1 bilion jika tamat perjanjian air Perak, kata Guan Eng

Pulau Pinang mungkin masih perlu membayar lebih RM1 bilion sekiranya pengendali airnya menamatkan perjanjian 40 tahun untuk membeli air terawat dari Perak, dakwa bekas ketua menteri Lim Guan Eng yang terus berbalas kenyataan dengan penggantinya Chow Kon Yeow.
Lim berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) masih perlu membayar caj kapasiti tertunggak bagi baki tempoh perjanjian itu, meskipun memilih untuk menamatkannya.
Merujuk pekeliling PBA Holdings Bhd (PBAH) kepada pemegang saham bertarikh 27 Okt, beliau berkata jumlah itu akan dikira berdasarkan nilai bayaran yang masih perlu dibuat pada masa kini, menggunakan kadar diskaun 4%.
“Saya terkejut Chow gagal menyebut jumlah yang perlu dibayar PBAPP bagi caj kapasiti sekiranya ia memilih untuk menamatkan perjanjian itu. Orang ramai berhak dimaklumkan mengenai fakta sebenar dan bukannya kebenaran disembunyikan daripada mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Di bawah perjanjian itu, Lim berkata, PBAPP perlu membayar RM210 juta setahun kepada Perak selama 40 tahun bermula 31 Mac 2032, menjadikan jumlah keseluruhan caj kapasiti tetap sebanyak RM8.4 bilion.
Perjanjian itu turut merangkumi bayaran RM16.2 bilion bagi bekalan air, berdasarkan bekalan minimum 300 juta liter sehari.
Lim berkata caj berkenaan tetap perlu dibayar tanpa mengira jumlah sebenar air terawat yang dibekalkan Perak, termasuk ketika berlaku gangguan bekalan berpanjangan.
“Walaupun setitis air terawat pun tidak dibekalkan, PBAPP masih diwajibkan membayar RM210 juta setahun,” katanya sambil menambah kebimbangan itu antara bantahan yang dibangkitkan lima pengarah bebas PBAH.
Ahli Parlimen Bagan itu turut mempersoalkan kepentingan kelulusan 98% pemegang saham yang dilaporkan diberikan kepada perjanjian itu, dengan menyatakan kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP secara bersama memiliki 65% saham PBAH.
“Adakah pemegang saham PBAH lebih penting daripada kepentingan 1.8 juta penduduk Pulau Pinang yang kadar tarif airnya akan terjejas akibat perjanjian pembelian air secara pukal ini?” soalnya.
Lim menegaskan beliau tidak menentang usaha mendapatkan bekalan air tambahan dari Perak, sambil berkata projek itu dimulakannya ketika menjadi ketua menteri.
“Tumpuan saya adalah pada aspek kewangan yang tidak seimbang dalam perjanjian pembelian air secara pukal itu, yang amat merugikan Pulau Pinang,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.