‘Prinsip tak terjejas’, Anwar pertahan undang presiden Myanmar

Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan mengundang pemimpin Myanmar ke Malaysia, sambil menegaskan langkah itu tidak menggadaikan prinsip negara, sebaliknya membantu usaha penghantaran pulang rakyat negara berkenaan secara selamat dan bermaruah.
Perdana Menteri berkata undangan itu dibuat sebelum keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dengan mengambil kira kepentingan negara selepas usaha menempatkan pelarian di negara ketiga tidak membuahkan hasil.
Beliau menegaskan Malaysia tetap menghormati keputusan ICJ, membantah penindasan terhadap etnik Rohingya dan kumpulan lain di Myanmar, serta berpegang kepada Konsensus Lima Perkara Asean.
“Dalam memutuskan dasar, keutamaannya ialah memelihara kepentingan negara. Apakah dengan mengundang Presiden Myanmar (Min Aung Hlaing) ke Malaysia membantu menyelesaikan masalah negara? Jawabnya ya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai pendirian Malaysia terhadap keputusan ICJ serta tindakan kerajaan mengundang pemimpin junta Myanmar ke negara ini.
Anwar berkata rundingan dengan Myanmar setakat ini membolehkan 10,476 rakyat negara itu dihantar pulang dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Myanmar.
Jumlah itu termasuk 1,476 orang yang dibawa pulang menggunakan kapal perang Myanmar pada 29 Sept lalu.
Katanya, Kementerin Luar turut meluluskan kemasukan tiga kapal tentera laut Myanmar bagi membawa pulang 1,500 rakyatnya pada 6 dan 7 Dis ini, manakala 5,303 lagi dijadualkan pulang menaiki pesawat pada bulan sama.
“Setakat ini, belum ada kes daripada 10,476 orang itu yang menerima apa-apa bentuk tekanan seperti yang dipantau oleh kedutaan Malaysia,” katanya.
Khamis lalu, ICJ dilaporkan memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya, selain mengarahkan supaya kepulangan mereka dijamin selamat dan pampasan diberikan.
Mahkamah itu mendapati tentera Myanmar membunuh ribuan orang awam Rohingya, melakukan keganasan seksual secara meluas dan memusnahkan perkampungan mereka dengan niat menghapuskan sebahagian besar populasi etnik berkenaan.
Susulan keputusan itu, Kementerian Luar pada Ahad lalu menyatakan dapatan ICJ selari dengan pendirian Malaysia dalam melindungi golongan rentan.
Dalam perkembangan berkaitan pengurusan pelarian, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan pendaftaran dan dokumentasi minggu lalu susulan keputusan Putrajaya membangunkan sistem sendiri bagi mengurus pencari suaka.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.