CNN TürkGenelkurmay Başkanı Orgeneral Bayraktaroğlu, Somali'de temaslarda bulunduThe Jerusalem PostPro-Israel advocate kicked to the ground during a pro-Palestinian protest in BerlinPunchHow Nigeria can shape global narrative – Ex-UN officialZDF heuteAktuelle Pressemitteilungen des ZDF매일경제“8000억 담았는데 하룻밤 14% 폭락?”…떨어지는 칼날 잡은 서학개미Daily MailPioneering treatment fixes hearts as patients remain awakeLa NaciónAbierto de Palermo: La Natividad-La Dolfina venció a La Ensenada y está invicto en 22 funcionesLenta.ruЛитва ответила на новость о запуске страной подозрительного объекта в сторону РоссииTimes of IndiaOhio shooting: 3 killed, 1 injured at event venue; two suspects in custodyCBS NewsTrump says he wants "permanent" deal with IranGlobal NewsRinzel’s rise lifts him into ‘Hawks history books自由時報歡迎ARMY來高雄 陳其邁PO圖導覽高雄吃喝玩樂
The Daily Newsstand · Free, Always
Sunday, November 22, 2026

Di mana silap Anwar Ibrahim?

Translate

Empat kekalahan PRN menimbulkan persoalan besar: Mengapa kerajaan yang mencatat beberapa pencapaian ekonomi masih gagal mempertahankan sokongan politik? Empat PRN, empat kekalahan buat Pakatan Harapan. Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka menghantar mesej yang sukar untuk diketepikan oleh kepimpinan Anwar Ibrahim.

Daripada 120 kerusi DUN di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, PH sebagai kerajaan yang sedang memerintah hanya memenangi 23 kerusi atau 19%. Lebih membimbangkan di Melaka, PKR iaitu parti induk PH gagal memenangi sebarang kerusi, sedangkan gabungan BN dan PN menguasai 24 daripada 28 kerusi.

Apakah sebenarnya yang tidak kena dengan PH? Di mana silapnya Anwar?

Persoalan ini bukan bertujuan mengkritik atau mempertahankan sesiapa. Sebaliknya, ia menuntut kita menilai suatu paradoks politik yang semakin ketara dalam negara kita. Dari sudut ekonomi, kerajaan pimpinan Anwar memiliki rekod dan statistik pencapaian yang sangat membanggakan. Namun dari sudut politik, PH pimpinannya terutama PKR dan Amanah semakin kehilangan sokongan, ibarat tersesat di hutan rimba.

Ekonomi berkembang 5.2% pada 2025. Inflasi tahunan berada pada 1.4%, sementara defisit fiskal berjaya dikurangkan kepada 3.7% berbanding KDNK. Kerajaan juga melaksanakan penyasaran subsidi, sesuatu yang sekian lama dibincangkan tetapi sukar dilaksanakan kerana risiko politik.

Perbelanjaan subsidi kerajaan menurun daripada RM39.10 bilion pada 2024 kepada RM23.43 bilion pada 2025, walaupun sebahagian penurunan itu turut disumbangkan oleh harga minyak dunia yang lebih rendah. Pada masa yang sama, bantuan langsung kepada rakyat kita melalui pelbagai program seperti STR, SARA, BUDI95 dan Budi Diesel telah diperluaskan dari sudut jumlah perbelanjaan dan jumlah rakyat yang menerimanya.

Namun semua angka ini membawa kepada satu pertanyaan yang lebih besar. Mengapa pencapaian ekonomi tidak diterjemahkan kepada sokongan rakyat?

Rakyat tidak hidup dengan angka KDNK

Bagi ahli ekonomi, pertumbuhan 5.2% merupakan pencapaian yang semestinya dibanggakan apatah lagi dalam suasana ekonomi gawat yang dilanda peperangan geopolitik. Tetapi tidak bagi seorang ketua keluarga yang membawa pulang pendapatan RM3,000 sebulan, persoalan yang sentiasa berlegar di kepala ialah berapakah wang yang tersisa dalam pendapatan boleh guna selepas membayar pinjaman atau sewa rumah, kos kenderaan, makanan, persekolahan dan lain-lain keperluan keluarga.

Menurut Jabatan Perangkaan, median gaji bulanan pekerja formal negara pada Jun 2026 ialah RM3,000. Angka ini memberi gambaran bahawa pertumbuhan ekonomi negara tidak semestinya dirasai oleh setiap isi rumah walaupun kerajaan telah menaikkan gaji minimum kebangsaan.

Inflasi yang rendah sekitar 1.4 juga tidak bermakna harga barang kembali murah. Ia sekadar menunjukkan kadar kenaikan harga semakin perlahan. Rakyat masih membandingkan dengan zaman dahulu di mana harga barang mentah termasuk yang diimport masih murah dan tidak mempengaruhi harga barang seharian.

Kepekaan kerajaan terhadap harga barang keperluan sangat tinggi melalui pelaksanaan subsidi barang keperluan asas seperti beras tempatan, minyak masak, RON95 dan LPG bagi kegunaan domestik. Kendatipun begitu, penguatkuasaan sangat rapi dilaksanakan bagi memastikan tiada pencatutan dilakukan sesuai dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.

Mungkin di sinilah wujud jurang terbesar antara kerajaan dan rakyat. Kerajaan bercakap mengenai prestasi ekonomi, sedangkan rakyat bercakap mengenai kemampuan untuk meneruskan kehidupan.

Mengapa Umno, PAS masih punyai pengikut setia?

Satu lagi persoalan yang perlu kita hadapi ialah mengapa Umno masih mendapat sokongan walaupun sejarahnya dibayangi pelbagai skandal rasuah dan salah guna kuasa membabitkan wang negara dan rakyat yang melibatkan sebahagian pemimpin? Begitu juga PAS, yang membawa pendekatan politik Islam ekstrem tetapi tetap mempunyai pengikut yang cukup setia.

Jawapannya mungkin kerana politik bukan sekadar persoalan prestasi pentadbiran atau integriti individu. Ia banyak dipengaruhi sentimen dan persepsi. Umno mempunyai sejarah, jaringan akar umbi, identiti perjuangan Melayu dan hubungan komuniti yang dibina selama beberapa generasi. PAS pula mempunyai rangkaian institusi agama, aktiviti kemasyarakatan, kepimpinan setempat dan ikatan identiti yang kuat dalam kalangan penyokong.

Bagi sebahagian pengundi, mengundi bukan semata-mata memilih kerajaan yang paling cekap dan integriti. Ia bukan sekadar siapa mereka, nilai yang mereka pegang dan komuniti yang mereka rasakan sebagai milik mereka. Di sinilah mungkin perbezaan antara Umno, MCA, MIC, PAS dan DAP dengan parti-parti lain yang dikategorikan sebagai baharu muncul. Adakah PH dan parti-parti baharu mempunyai ikatan emosi dan organisasi yang setanding?

Atau adakah PH selama ini terlalu bergantung kepada imej Anwar sebagai simbol reformasi?

Selama lebih dua dekad, Anwar merupakan simbol perjuangan menentang penyalahgunaan kuasa, rasuah dan ketidakadilan. Namun apabila beliau menjadi perdana menteri, kedudukannya berubah. Beliau bukan lagi pemimpin pembangkang yang menuntut perubahan. Beliau kini ketua negara yang harus membuktikan kemampuan untuk melaksanakan perubahan tersebut.

Mengetuai kerajaan memerlukan mengimbangi antara dasar dengan kemampuan serta sokongan jentera kerajaan untuk melaksanakan, mempertahankan setiap keputusan lebih-lebih lagi yang tidak popular, mungkin terpaksa berkompromi dan sejauh mana keupayaan pentadbiran sendiri di semua peringkat terutama penjawat awam. Kerjasama politik dengan Umno diperlukan bagi mengatasi Parlimen tergantung dan membentuk kerajaan yang stabil selepas PRU15. Namun kompromi tersebut juga menimbulkan persoalan dalam kalangan sebahagian penyokong reformasi.

Apabila janji pembaharuan institusi dilihat bergerak sangat perlahan, apakah yang membezakan kerajaan reformasi ketimbang kerajaan yang pernah ditentangnya? Adakah penyokong PH masih percaya bahawa perjuangan asal sedang dilaksanakan, atau sebahagian mereka sudah hilang semangat untuk keluar mengundi?

Kekecewaan penyokong sendiri boleh menjadi lebih berbahaya daripada penentangan pihak lawan.

Masalah Anwar atau masalah PKR?

Kita juga perlu berani bertanya sama ada kelemahan PH hari ini sebenarnya berpunca daripada masalah kepimpinan dan organisasi PKR sendiri. Sebuah parti tidak boleh bergantung selama-lamanya kepada seorang tokoh, walau sehebat mana pun ketokohan tersebut.

Parti memerlukan kesinambungan pemimpin generasi baharu, kekuatan organisasi, keupayaan mendengar suara akar umbi dan keberanian untuk menerima kritikan. Perpecahan dalaman serta pemergian tokoh yang pernah menjadi wajah reformasi menimbulkan persoalan sama ada PKR masih mampu mengekalkan semangat perjuangan yang membentuk identiti. Apakah mungkin itu strategi pihak lawan untuk melumpuhkan PKR?

Apabila sesebuah parti semakin dilihat sebagai instrumen mempertahankan kekuasaan dan bukannya menjanjikan dan melaksanakan perubahan, ia berisiko kehilangan kelebihan moral yang pernah membezakannya daripada parti lain.

Adakah benar Anwar dibenci?

Kita perlu berhati-hati dengan kesimpulan bahawa rakyat membenci Anwar. Kita tidak seharusnya terpengaruh dengan komen netizen yang kebanyakannya dari akaun palsu dan puak yang memang ingin menjatuhkan beliau dan kerajaan.

Pada masa sama, usaha jentera kerajaan menyebar luas pencapaian kerajaan terutama yang bersangkut-paut dengan hidup seharian rakyat seperti kos sara hidup mestilah dipertingkatkan dengan bahasa mudah yang dapat difahami dan dirasakan rakyat.

Tinjauan Merdeka Center yang diumumkan pada Jun 2026 menunjukkan beliau masih memperoleh penilaian positif 52%, tertinggi antara tokoh politik yang diuji. Namun tinjauan yang sama mendapati separuh responden percaya negara sedang menuju arah yang salah, sementara 73% menamakan ekonomi sebagai isu utama negara.

Ini menunjukkan suatu realiti yang lebih kompleks: seseorang pengundi boleh menghormati Anwar sebagai individu, tetapi tidak berpuas hati dengan kerajaannya.

Seseorang boleh mengakui pencapaian ekonominya, tetapi memilih parti lain kerana mesej yang tidak sampai, termakan dengan corak politik identiti, politik fitnah, calon tempatan atau kekecewaan terhadap janji politik. Seseorang boleh menyokong agenda reformasi, tetapi tidak lagi yakin bahawa PH mampu melaksanakannya.

Persoalan sebenar bukanlah mengapa rakyat membenci Anwar. Persoalannya ialah mengapa rakyat semakin tidak yakin bahawa Anwar dan PH mampu memenuhi harapan yang pernah mereka bina sendiri.

Anwar mungkin terpaksa membuktikan bahawa beliau seorang yang tegas dan mampu membuat tindakan berani.

Masa untuk dengar, bukan sekadar pertahan

Tiga kekalahan pilihan raya tidak semestinya menandakan pengakhiran kepimpinan Anwar Ibrahim, namun ia sepatutnya menjadi amaran bahawa pencapaian pentadbiran, kekuatan ekonomi dan jumlah bantuan kewangan tidak secara automatik menghasilkan kepercayaan politik dan undi.

Rakyat mahu merasakan bahawa kehidupan semakin baik. Mereka mahu melihat janji bukan hanya ditepati tetapi janji itu sedikit sebanyak mengubah hidup mereka, pemimpin boleh dipertanggungjawabkan dan kerajaan memahami kebimbangan mereka.

Anwar mungkin telah membuktikan bahawa beliau mampu mengurus beberapa cabaran besar ekonomi negara, tetapi beliau masih berhadapan dengan cabaran yang mungkin lebih sukar: meyakinkan rakyat bahawa perubahan yang diperjuangkannya selama ini benar-benar sedang berlaku.

Akhirnya, pilihan raya tidak dimenangi hanya dengan membuktikan bahawa negara semakin baik. Ia dimenangi apabila rakyat sendiri tidak terpengaruh dengan politik kebencian dan politik menakut-nakutkan tetapi yakin dan percaya serta dapat merasakan sendiri bahawa masa depan mereka dan anak cucu akan menjadi lebih baik.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.