Tanpa PN, Gerakan dan MIPP perlu buktikan kekuatan sendiri, kata penganalisis

Pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) menjadi ujian kepada Gerakan dan MIPP untuk membuktikan sama ada mereka mempunyai kekuatan sendiri atau perlu terus bergantung kepada sokongan sekutu, kata penganalisis.
Bercakap kepada FMT, Anbumani Balan berkata kehilangan platform PN akan memaksa kedua-dua parti menilai sejauh mana mereka mampu menarik sokongan atas kekuatan sendiri.
Beliau berkata, Gerakan dan MIPP sepatutnya berperanan membantu PN memperluas sokongan dalam kalangan pengundi bukan Melayu namun timbul persoalan keberkesanannya berdasarkan keputusan pilihan raya terbaharu di Johor dan Negeri Sembilan.
Dua parti itu gagal menyumbang sebarang kerusi kepada PN dalam dua pilihan raya berkenaan. Gerakan pula secara keseluruhan hanya mempunyai seorang wakil rakyat di Kedah iaitu Adun Kulim Wong Chia Zen.

“Inilah masanya untuk menilai kebenaran politik berdasarkan realiti undi, bukan persepsi, retorik atau kedudukan dalam gabungan.
“Jika kekuatan sendiri tidak mampu dibuktikan, kedudukan dalam gabungan hanyalah pinjaman politik, bukannya bukti sokongan rakyat,” kata Anbumani.
Semalam, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan dinyatakan dalam notis terdahulu.
Siasatan JPPM terhadap PN dibuat susulan aduan dilaporkan Bersatu yang mendakwa mereka dinafikan hak untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.
Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata gabungan itu akan mencabar pembatalan pendaftarannya dan memohon supaya pelaksanaan serta kesannya ditangguhkan sementara menunggu keputusan mahkamah.
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula tidak melihat pembatalan PN sebagai perkembangan yang akan mengubah landskap politik secara drastik kerana parti komponennya masih boleh membentuk kerjasama baharu.

Menurutnya, persoalan lebih mendesak adalah bentuk kerjasama yang akan dibentuk selepas ini serta logo yang akan digunakan dalam pilihan raya, termasuk PRN Melaka yang semakin hampir.
Beliau berpandangan Gerakan dan MIPP setakat ini menunjukkan kecenderungan untuk terus bersama PAS, malah boleh menggunakan logo parti itu atau Wawasan jika tidak mahu bertanding menggunakan logo masing-masing.
“Jika mereka benar-benar berniat untuk bersama PAS, mereka boleh melakukannya pada bila-bila masa,” katanya.
PRN Melaka akan berlangsung 14 Nov dengan penamaan calon ditetapkan 31 Okt.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.